Aaron Chia terima insentif RM53,000

Mohd Ali (tengah) menyaksikan replika cek RM50, 000 yang disampaikan Sulaiman (kanan) kepada Aaron Chia di pejabat Yang Dipertua Negeri di Ayer Keroh, di sini, pada Rabu.
Mohd Ali (tengah) menyaksikan replika cek RM50, 000 yang disampaikan Sulaiman (kanan) kepada Aaron Chia di pejabat Yang Dipertua Negeri di Ayer Keroh, di sini, pada Rabu.
A
A
A

PEMENANG pingat gangsa acara badminton beregu lelaki, Aaron Chia Teng Fong menerima insentif berjumlah RM53,000 daripada kerajaan negeri berikutan kejayaannya mengharumkan nama negara di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini.

Majlis penyampaian itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam sempena pemberian insentif atlet-atlet kelahiran Melaka yang menyertai dan memenangi pingat di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 di pejabat Yang Dipertua Negeri di Ayer Keroh, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Exco Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan, Datuk Rafiq Naizamohideen.

Aaron Chia yang ditemui berkata beliau amat berterima kasih kepada kerajaan negeri yang turut meraikan kegembiraan para atlet mengharumkan nama Malaysia dan negeri ini.

Ujar Atlet berusia 24 tahun itu, pemberian insentif itu juga sebagai penyuntik semangat dan motivasi kepadanya untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

“Selepas ini saya akan berdepan dengan beberapa kejohanan termasuk Piala Thomas pada Oktober depan dan mempunyai jadual latihan yang padat untuk memastikan kami mampu meraih kemenangan.

"Walaupun ada sedikit tekanan tapi sebagai atlet tekanan itu kita anggap sebagai motivasi untuk terus berjuang semasa beraksi di Olimpik.

"Memang ada sasaran untuk dapatkan emas namun ia bukan mudah untuk dicapai dan saya tak boleh berehat lama untuk teruskan latihan bagi berdepan kejohanan akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada temasya edisi 2020 itu Aaron dan pasangan regunya, Soh Wooi Yik menewaskan beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan pada penentuan pingat gangsa dengan mata 21-17, 17-21, 21-14.

Sementara itu, Rafiq berkata, insentif berjumlah RM50,000 merupakan ganjaran imbuhan di bawah Skim Hadiah Insentif Kemenangan Negeri Melaka selepas Aaron berjaya menyumbangkan pingat gangsa kepada negara.

Menurutnya, selain hadiah insentif kemenangan, kerajaan negeri juga memberikan sumbangan sebanyak RM3,000 sebagai tanda penghargaan atlet itu menyertai temasya sukan tersebut.

"Kejayaan ini begitu bermakna kerana bukan sahaja mengharumkan nama negara malah menyatupadukan rakyat Malaysia.

"Kerajaan negeri berbangga dan berbesar hati dengan pencapaian itu dan bersetuju memberikan hadiah wang tunai kepada atlet kelahiran Melaka itu," katanya.

Turut menerima sumbangan wang saguhati bernilai RM3,000 dua pemain wanita iaitu bagi acara regu campuran Goh Liu Ying dan beregu wanita, Lee Meng Yean.