Dua lelaki ditahan buang 500kg kulit durian dalam kebun sawit

Dua lelaki ditahan dalam operasi penguatkuasaan oleh SWCorp Raub selepas didapati membuang kira-kira 500 kg kulit durian dalam kebun sawit. - Foto Facebook SWCorp Pahang
Dua lelaki ditahan dalam operasi penguatkuasaan oleh SWCorp Raub selepas didapati membuang kira-kira 500 kg kulit durian dalam kebun sawit. - Foto Facebook SWCorp Pahang
A
A
A

RAUB - "Bos yang suruh buang." Itu alasan yang diberikan dua lelaki yang ditahan oleh anggota penguatkuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Raub di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran Taman Mawar, Sungai Ruan di Raub pada Selasa.

Kira-kira 500 kilogram sisa kulit durian itu ditemui dan dibuang di kebun terbabit.

Suspek masing-masing berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan ketika operasi penguatkuasaan sampah haram kulit durian dilakukan selepas SWCorp menerima maklumat orang awam yang disalurkan kepada Majlis Daerah Raub pada jam 3 petang.

Pengarah SWCorp Pahang Sharudin Hamid memberitahu, dua suspek itu ditahan bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda.

"Kedua-duanya memberikan kerjasama ketika ditahan dan mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) iaitu melonggokkan dan melupuskan sisa kulit durian di tempat yang tidak dibenarkan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Ujarnya, satu kes telah dihasilkan dan siasatan lanjut akan dijalankan serta dituduh bawah Akta 672 iaitu denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.

"Kita sangat kesal kerana masih ada pihak yang masih berdegil melakukan kesalahan ini dan mengalu-alukan sebarang maklumat oleh orang ramai," ujarnya.

Sebelum ini di daerah sama pada 15 Julai lalu, seorang lelaki ditahan ketika membuang kira-kira satu tan kulit durian di kawasan perkuburan Sempam di Cheroh di sini.

Artikel Berkaitan: