Ahli Parlimen PKR sahkan sudah serah akuan calon PM

Gambar dari kiri: Akmal Nasrullah, Fuziah Salleh
Gambar dari kiri: Akmal Nasrullah, Fuziah Salleh
A
A
A

SHAH ALAM - Berbaki kurang empat jam dari tempoh yang ditetapkan Istana Negara, beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendedahkan mereka sudah menghantar akuan bagi mencadangkan nama Perdana Menteri Kesembilan.

Antaranya ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang mengesahkan tindakan itu kepada Sinar Harian.

"Saya sudah hantar. Saya percaya semua orang dalam proses hantar sebab kami diberi masa sehingga jam 4 petang ini.

"Kita semua (Ahli parlimen PKR) berada di kawasan masing-masing, kami tidak berkumpul. Jadi masing-masing (hantar) seawal mungkinlah,"katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang calon Perdana Menteri yang dinamakan.

Sementara itu, ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad juga membuat pengesahan sama menerusi ciapan di Twitternya.

"Alhamdulillah telah selesai menghantar surat akuan PM9 dan telah mendapat maklum balas daripada pihak Istana Negara bahawa ia diterima. Doakan yang terbaik untuk Malaysia. Semoga kembali pulih, makmur dan bermaruah,"tulisnya.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Akmal Nasrullah Mohd Nasir menerusi ciapan di Twitter juga turut tidak terkecuali namun berpegang kepada titah Yang di-Pertuan Agong agar akuan tersebut dirahsiakan.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah, saya telah sempurnakan tanggungjawab di hadapan Pesuruhjaya Sumpah sebentar tadi.

"KDYMM YDPA telah menitahkan untuk menjaga kerahsiaan Surat Akuan tersebut sehinggalah Baginda selesai membuat keputusan.

"Ia kekal berprinsip dan akan terus bersama dengan perjuangan," tulisnya.

Kesemua 220 Ahli Parlimen diberi masa sehingga 4 petang hari ini untuk menyerahkan surat akuan itu kepada Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Kol (Bersara) Nazim Mohd Alim melalui faks, e-mel atau dalam bentuk PDF di WhatsApp.

Surat akuan tersebut perlu disahkan benar.