Pas buka pintu ‘25 jam sehari’ kepada SPRM

Tuan Ibrahim ditemui ketika ceramah Perdana anjuran UMNO dan Pas, di sini, malam tadi. - Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Tuan Ibrahim ditemui ketika ceramah Perdana anjuran UMNO dan Pas, di sini, malam tadi. - Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SEMENYIH - [DIKEMASKINI] Pas membuka pintu seluasnya buat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat pemimpinnya yang didakwa menerima wang berjumlah RM90 juta daripada UMNO.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk mereka melengkapkan siasatan kes tersebut.

“Kita buka pintu 25 jam sehari kepada SPRM untuk disiasat. Bagi pihak parti, kita akan bagi kerjasama penuh kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan mereka

“Kita tiada halangan. Pejabat kita sentiasa terbuka dan kita akan beri kerjasama,” katanya kepada pemberita selepas Ceramah Perdana anjuran UMNO dan Pas, di sini, malam tadi.

Ketika diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai bukti Pas membayar wang kepada Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, Tuan Ibrahim menegaskan bukan tanggungjawab Pas untuk buktikan kenyataan itu.

“Bukan tanggungjawab kita untuk buktikan. Tak boleh dia tuduh dan suruh kita laporkan, itu bukan kerja kita.

“Bagi kita, isu tersebut sudah selesai dan dokumen rasminya tiada sebarang pembayaran,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berpendapat serangan bertali arus kepada Pas tidak menjejaskan mood pengundi di Semenyih.

Artikel Berkaitan:

“Kami tambah kuat walaupun fitnah itu tiap hari dimainkan. Fitnah ini mula-mula bolehlah tapi lama-lama orang naik muak

“Kita tengok reaksi selepas pilihan raya, tidak ramai yang termakan dengan isu ini,” ujarnya.