Sidang DUN Negeri Sembilan diteruskan ikut jadual

Zulkefly
Zulkefly
A
A
A

SEREMBAN - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan tetap akan berjalan seperti yang dijadualkan pada 3 September hingga 8 September ini meskipun terdapat perubahan di peringkat kerajaan Persekutuan.

Speaker DUN Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar berkata, perubahan mungkin berlaku di negeri lain, tetapi tidak di Negeri Sembilan yang masih kekal di bawah kerajaan Pakatan Harapan(PH).

"Di Negeri Sembilan tidak terganggu dengan apa yang berlaku di peringkat nasional dan kerajaan Negeri Sembilan masih diterajui oleh PH.

"Negeri lain mungkin ada yang terkesan. Tapi kita (Negeri Sembilan) tiada perubahan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sidang DUN tersebut akan dimulakan pada 3 September dengan perasmian titah ucapan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Sementara itu Zulkefly berkata, setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga akan dipastikan lengkap mengambil dua dos vaksin Covid-19 selain tahap kesihatan mereka berada dalam keadaan baik.

"Kita akan ikut prosedur operasi standard (SOP) biasa yang ditetapkan dengan meminta ADUN yang alami simptom demam dan tidak sihat supaya tidak datang ke persidangan," katanya.

Artikel Berkaitan: