Adakan perundingan jika tiada ahli Parlimen dapat 111 sokongan

Muhammad Fathi
Muhammad Fathi
A
A
A

SHAH ALAM - Terdapat kemungkinan pihak Istana Negara akan memberi ruang kepada parti politik untuk mengadakan perundingan jika ahli Parlimen yang bakal dicadangkan sebagai Perdana Menteri baharu tidak mendapat 111 sokongan, kata Pakar Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof.

Menurut beliau, perundingan tersebut boleh dilaksanakan sekiranya ia berteraskan perundingan polisi atau untuk melaksanakan tanggungjawab dalam kerajaan.

“Tetapi ia tidak boleh melibatkan perundingan untuk melepaskan hukuman mahkamah, dakwaan dan sebagainya. Itu tidak bermoral.

“Saya percaya perundingan tersebut tidak perlu mengambil masa yang lama. Saya ingat dua hari cukup sekiranya dapat mencapai kata putus dan beberapa pilihan boleh dilaksanakan.

“Contohnya, mungkin boleh dilaksanakan kerajaan minoriti yang disertakan dengan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA). Pilihan kedua, kerajaan perpaduan atau ketiga, kerajaan campuran. Ini boleh dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa program Wacana Sinar Harian edisi ke-281 yang bertajuk 'PM Sementara atau Kerajaan Sementara' yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.

Tangkap layar program Wacana Sinar edisi ke-281 yang bertajuk 'PM Sementara atau Kerajaan Sementara' yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.
Tangkap layar program Wacana Sinar edisi ke-281 yang bertajuk 'PM Sementara atau Kerajaan Sementara' yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Kartini Aboo Talib dan Penganalisis ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma manakala Ismail Adnan selaku moderator.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Muhammad Fathi berkata, sekiranya tiada kata sepakat dalam perundingan itu, merujuk pada perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong sebenarnya mempunyai kuasa untuk bertindak berdasarkan budi bicara.

Tambahnya, sekiranya berlaku situasi begini, maka Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sepatutnya diberi ruang untuk melantik seseorang yang mempunyai sokongan paling tinggi walaupun tiada majoriti namun ada kemungkinan untuk mendapatkan sokongan selepas dilantik.

“Apabila melantik Perdana Menteri dalam kalangan wakil rakyat yang mendapat sokongan tertinggi, beliau perlu membina sokongan bagi mengukuhkan kedudukan dalam politik.

“Saya rasa ia perlu dilaksanakan daripada kita terus melaksanakan pilihan lain seperti pilihan raya atau darurat yang agak berisiko untuk tempoh sekarang,” jelasnya.