Sumareh yakin kehadiran penyokong barakan semangat pemain

Pemain Malaysia, Mohamadou Sumareh (dua,kanan) bersalaman dengan pemain Thailand Korrakot Wiriyaudomsiri (dua,kiri) pada sidang media menjelang perlawanan separuh akhir pertama Kejohanan Piala AFF, di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
Pemain Malaysia, Mohamadou Sumareh (dua,kanan) bersalaman dengan pemain Thailand Korrakot Wiriyaudomsiri (dua,kiri) pada sidang media menjelang perlawanan separuh akhir pertama Kejohanan Piala AFF, di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN sayap naturalisasi Malaysia, Mohamadou Sumareh percaya kehadiran 80,000 penyokong akan meniupkan semangat kepada jentera Harimau Malaya untuk menewaskan juara bertahan Piala AFF Suzuki, Thailand dalam perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Peruntukan 80,000 tiket oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk perlawanan esok dilaporkan telah habis dijual.

“Saya rasa agak yakin dan teruja bahawa sokongan ramai peminat yang akan datang menaikkan semangat saya dan kesemua pemain untuk memberikan aksi terbaik bila berhadapan pasukan lawan,” katanya dalam satu sidang media praperlawanan, di sini hari ini.

Pemain Pahang itu juga tidak bimbang mengenai kemarau gol dihadapinya dalam kejohanan dwitahunan itu, tetapi sedia untuk memberikan aksi yang terbaik di hadapan peminat yang ramai.

“Saya ingin membantu pasukan untuk menang dahulu, dan jika saya berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan esok, ia merupakan satu bonus buat saya,” kata Sumareh.

Bagaimanapun, bek kiri Thailand, Korrakot Wiriyaudomsiri, berkata skuad Gajah Perang sedia untuk memberikan aksi terbaik mereka dalam perlawanan esok.

“Kami semua cergas, bersedia sepenuhnya untuk perlawanan esok dan semoga, ia merupakan hari bertuah untuk memenangi perlawanan,” kata pemain Buriram United.

Perlawanan separuh akhir kedua akan berlangsung di Stadium Rajamangala, Bangkok, 5 Disember ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: