Keenakan menu kesihatan Kelab Gojes Chendering

Sebahagian daripada pelanggan menunjukkan menu yang dicuba daripada Kelab Gojes Chendering Kuala Terengganu.
Sebahagian daripada pelanggan menunjukkan menu yang dicuba daripada Kelab Gojes Chendering Kuala Terengganu.
A
A
A

BERBEKALKAN dengan slogan ‘Makan Sedap Pun Boleh Gojes dan Turun Berat Badan', Kelab Gojes memberi solusi baharu kepada individu yang berminat untuk menurunkan berat badan tetapi dalam masa yang sama masih boleh makan berkonsepkan makanan segera.

Susulan itu, jurulatih merangkap Pengasas Kelab Gojes Chendering, Ahmad Nur Alimin Alliff, 31, atau lebih dikenali sebagai Coach Alliff mengambil inisiatif mencari idea untuk mencuba menyediakan menu makanan segera tetapi dalam masa sama masih boleh menjaga kesihatan dan tidak akan mengganggu berat badan.

"Saya tubuhkan kelab ini bukan sekadar memfokuskan untuk menurunkan berat badan, tetapi dalam masa sama untuk berbincang serta bertukar-tukar pendapat dalam kalangan ahli kami yang berdepan masalah berat badan ini.

"Hasilnya, saya dapati semua individu yang mengalami masalah berlebihan berat badan berpunca daripada ketagih makan makanan manis serta berminyak. Hasil daripada idea tersebutlah, munculnya menu-menu seperti hari ini," katanya.

Jelas beliau, idea penubuhan Kelab Gojes ini bermula daripada semangat hendak menurunkan berat badan, tetapi tanpa disangka beliau terus tertarik dan mula nampak potensi serta peluang perniagaan yang boleh didapati daripada hasil bertukar-tukar pendapat dan pandangan itu.

"Hanya sekadar berkongsi pengalaman untuk turun berat, saya mula berjinak-jinak dan mula suka dengan kerjaya baru ini yang dilihat boleh membantu individu lain terutama yang mempunyai masalah berlebihan berat badan.

"Saya mula nampak ‘masalah berat badan’ yang dihadapi oleh individu yang telah dibantu sebelum ini boleh menjadi salah satu peluang perniagaan dan dalam masa yang boleh membantu ramai individu lain yang juga mencari peluang bukan sahaja dari segi kesihatan malahan ekonomi," katanya.

Sambutan menggalakkan

Artikel Berkaitan:

Jika sebelum pandemik ini berlaku, kelab Gojes Chendering hanya menjadi tumpuan ahli kelab berdekatan yang hadir ke kelab untuk timbang berat serta berbincang dengan Coach Alliff bagi mendapatkan khidmat nasihat beliau untuk membantu turun berat.

Tetapi, hikmah pandemik telah membuka peluang rezeki kepada kelab ini. Idea untuk mencipta pelbagai menu diet bermula apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan pelbagai aktiviti ekonomi dan sosial tidak dapat dibuka.

Walau dalam keadaan sukar begini dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) baharu yang perlu dipatuhi, ini tidak menghalang beliau untuk mencari jalan penyelesaian agar Kelab Gojes dan seluruh rangkaiannya terus dapat beroperasi dan menghasilkan sumber kewangan kepada kelab amnya dan peluang pendapatan kepada semua ahli kelab umumnya.

Coach Aliff menunjukkan salah satu produk minuman dan makanan sihat yang sering mendapat tempat dalam kalangan pelanggannya.
Coach Aliff menunjukkan salah satu produk minuman dan makanan sihat yang sering mendapat tempat dalam kalangan pelanggannya.

"Alhamdulillah sepanjang PKP sebelum ini kami masih memperoleh pendapatan yang agak luar biasa berbanding hari-hari biasa sehingga boleh mencecah RM1,000 sehari.

"Dalam masa sama, sedikit demi sedikit, kelab ini telah banyak menghasilkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara berterusan dalam bidang penyediaan makanan sihat," katanya.

Antara menu ‘signature’ Kelab Gojes yang digemari ramai adalah Shake Wow (Mocha Oreo, Creamy Oreo, Vanila Caramel, Dinasour, Mint Chocolate Oreo, Cappucino Oreo Caramel, Pink Lady, Fruit Tropical) dan Shake Loaded (perisa Mango, Pisang dan Naga).

Selain itu, menu yang menjadi pilihan ramai adalah Waffle Sihat, Protein Ball, Bora-Bora Gojes, Peach Mango Black Tea, Loaded Tea serta Aiskrim dan Smoothies yang dihasilkan menggunakan resipi sihat yang sesuai untuk individu yang sedang diet dan nak turun berat badan.

Menurut Coach Alliff, kesemua menu tersebut dibuat sebaik sahaja menerima tempahan daripada pelanggan kerana dia telah menekankan kepada pembantu Kelab Gojes agar mementingkan kualiti, keenakan dan mahu memastikan pelanggan menerima hasil menu yang baharu malah setiap menu yang dihasilkan juga dipantau oleh beliau sendiri terutama daripada segi sukatan dan hasilnya.

"Walaupun menu yang dihasilkan menggunakan bahan-bahan yang agak mahal juga, kerana bukan semua kandungan produk seperti tepung, minyak dan sebagainya sesuai untuk individu sedang berdiet, namun itu bukan alasan untuk meletakkan harga yang tinggi.

“Saya amat memahami dan sering meletakkan diri di tempat mereka. Atas sebab itu, saya cuba meletakkan harga berpatutan bagi tidak membebankan pelanggan yang mahu menikmati menu diet dan dalam masa dapat membantu mereka mendapatkan keputusan untuk turun berat," katanya.

Bermula dari Kelab Gojes Chendering, kini Coach Alliff berjaya meluaskan rangkaian Kelab Gojes dengan sebanyak 16 rangkaian Kelab Gojes telah dibuka di seluruh negeri Terengganu.

Setelah hampir sembilan tahun Kelab Gojes ditubuhkan, kelab ini telah menarik hampir 1,000 orang yang datang dari pelbagai latar belakang dan peringkat umur.

"Saya menyasarkan semua menu dihasilkan hari ini dapat diperluaskan bukan hanya di dalam negeri, malah ke luar negara seperti Indonesia," katanya.