Apam balik durian 'laku keras'

Muhamad Syazwan memberanikan diri menghasilkan apam balik berintikan durian dan menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggannya.
Muhamad Syazwan memberanikan diri menghasilkan apam balik berintikan durian dan menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggannya.
A
A
A

TUMPAT - Meskipun kedengaran janggal apam balik berintikan durian, namun percubaan dilakukan seorang peniaga muda di Kampung Gerong, Wakaf Bharu di sini membuahkan hasil apabila juadah itu 'laku keras' dan berjaya memenangi selera pelanggannya.

Muhamad Syazwan Abdul Aziz, 20, berkata, bersempena musim durian dia mencuba inovasi baharu itu dan yakin keenakan rasa juadah itu dapat diterima pelanggan.

"Saya memberanikan diri untuk menjual apam balik berintikan durian ini setelah mencuba sendiri rasanya yang sedap. Alhamdulillah percubaan pertama saya mengolah resipi apam balik ini membuahkan hasil apabila diterima pelanggan.

"Malah ada pelanggan yang sanggup menunggu lebih awal untuk mendapatkan apam balik durian ini walaupun gerai saya hanya mula beroperasi pada jam 8 pagi," katanya ketika ditemui di gerainya pada Selasa.

Menurutnya, dia juga tidak menyangka percubaannya menghasilkan apam balik durian sejak tiga minggu lalu itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan sehingga tidak 'menang tangan'.

Durian berkualiti menjadi pilihan Muhamad Syazwan untuk dijadikan inti apam balik.
Durian berkualiti menjadi pilihan Muhamad Syazwan untuk dijadikan inti apam balik.

Katanya, inti yang dihasilkan seratus peratus daripada isi durian segar jenis kampung dan 'kahwin' termasuk yang bermutu tinggi seperti durian kunyit bagi mendapatkan rasa serta bau yang lebih menyelerakan.

"Apa yang lebih mengembirakan saya apabila apam balik durian saya ini habis dijual dalam tempoh empat jam menjelang tengah hari setiap hari.

Artikel Berkaitan:

"Setiap hari saya memerlukan 15 kilogram (kg) durian yang diasingkan bijinya untuk dijadikan inti dan menggunakan sekurang-kurangnya 10 kg tepung gandum untuk membuat apam balik yang dijual dengan harga RM2 hingga RM5 setiap satu bagi saiz kecil dan besar,” katanya.