Tabah dalam derita

Mansor bersama lima cucunya di hadapan rumah didiami Nor Roslina dan lima anaknya.
Mansor bersama lima cucunya di hadapan rumah didiami Nor Roslina dan lima anaknya.
A
A
A
KUALA NERUS - Seorang ibu tabah dalam derita apabila mendiami sebuah rumah kecil persis reban ayam yang dipenuhi lubang tanpa tingkap di Kampung Alur Damat, di Batu Rakit di sini.

Lantai kayunya juga reput membahayakan lima nyawa anak kecil berusia antara tiga hingga 11 tahun malah keselamatan ibu mereka juga tidak terjamin dalam keadaan seperti itu.

Rumah itu hanya mempunyai sebuah bilik tidur turut dijadikan sebagai tempat makan dan satu bahagian lain dijadikan tempat mandi, membasuh pakaian serta memasak.

Nor Roslina Abd Razak, 32, berkata, rumah itu adalah rumah milik bapa mertua, Mansor Harun, 68, dan bapa mertuanya hanya bekerja sebagai kelindan lori di kilang memproses bawang.

Menurutnya, kehidupan mereka menjadi sukar apabila suaminya menjalani hukuman kerana kesalahan dadah lebih kurang enam bulan lalu hingga memaksa mereka bergantung kepada Mansor.

“Saya reda dengan apa yang ditakdirkan untuk kami sekeluarga. Kami memang tak mampu tinggal di rumah yang selesa. Mujur juga ada rumah ini yang dibina oleh bapa mertua saya.

"Rumah ini sebenarnya adalah stor digunakan untuk menyimpan barang milik keluarga. Hanya ada satu bilik tidur sempit, lantai reput dan dinding berlubang serta terbuka kerana tiada tingkap.

“Kalau hujan pada waktu malam kami sekeluarga tidak dapat tidur kerana masing masing perlu berjaga untuk menadah air dari bumbung yang bocor," katanya ditemui di rumahnya, hari ini.

Nor Roslina berkata, dia tidak dapat bekerja kerana perlu memberikan sepenuh perhatian pada anak anak yang masih kecil dan tiada pendapatan selepas suaminya menjalani hukuman.
Artikel Berkaitan:


Menurutnya, walaupun rumah itu menunggu masa untuk menyembah bumi, saya tiada pilihan disebabkan tiada tempat tinggal lain dan bapa mertua juga orang susah, ibu mertua pula sakit.

“Tiga anak saya juga tidak bersekolah, keadaan mereka menyukarkan saya untuk keluar bekerja dan kini kami hidup dengan mengharap belas ihsan keluarga mertua sepenuhnya," katanya.

Terdahulu, Nor Roslina dikunjungi sebuah badan bukan kerajaan dikenali sebagai Fisabilillah Terengganu yang menghulurkan sumbangan bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Alur Damat.

Nor Roslina berkata, dia kini meneruskan hidup dengan apa yang ada namun bersyukur tidak pernah berlapar kerana bapa mertuanya sanggup bersusah payah memenuhi keperluan mereka.

Kepada orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Mansor di talian 019 921 7087.

Sementara itu, Mansor berkata, selain menanggung perbelanjaan cucu dan menantunya itu dia juga perlu menanggung anaknya sendiri serta menjaga isterinya yang sedang sakit.

"Susah memang susah tapi saya perlu pastikan keluarga ini tidak berlapar walaupun pendapatan saya tidak seberapa," kata penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Maidam itu.