Wallace intai aksi persahabatan luar negara

Wallace Tan
Wallace Tan
A
A
A

PENGENDALI skuad hoki remaja negara, Wallace Tan berharap dapat mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dalam usaha menyediakan pasukan yang mantap sebelum menyingkap tirai kempen Piala Dunia Remaja di India yang bermula dari 24 November hingga 5 Disember depan.

Malah menurut Wallace, perlawanan persahabatan merupakan antara perkara yang menjadi keutamaannya dalam usaha memastikan skuad negara mampu memberikan impak terbaik dalam penampilan di kejuaraan berprestij tersebut.

“Pemain-pemain begitu teruja untuk kembali berlatih di padang selepas hanya menjalani latihan secara bersendirian dan dipantau menerusi atas talian bagi memastikan tahap kecergasan, berada pada tahap optimum.

“Saya juga berharap selepas kami dapat mengadakan beberapa perlawanan persahabatan berintensiti tinggi bagi mendedahkan pemain-pemain suasana kejohanan sebenar selepas mereka dibenarkan menjalani latihan secara gelembung sukan selepas ini.

“Buat masa ini saya memilih beberapa negara luar sebagai pentas pemanas badan skuad remaja negara kerana untuk temasya sukan hoki berprestij dunia kebanyakan pencabar utama datangnya dari benua berkenaan.

“Selain itu, saya juga merancang pelan alternatif untuk mengadakan perlawanan persahabatan menentang skuad senior Malaysian Tigers kendalian coach Arul Selvaraj,” katanya.

Untuk rekod Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) sebelum itu mengesahkan skuad lelaki negara layak beraksi pada saingan Piala Dunia Remaja berdasarkan kiraan mata yang dilakukan Persekutuan Hoki Asia (AHF) selepas pembatalan Kejohanan Remaja Asia.

Kiraan mata itu menyaksikan Malaysia berada di kedudukan ketiga dengan 57.6 mata di belakang India (62.3 mata) yang turut layak sebagai tuan rumah selain Pakistan (56.1 mata) dan Korea Selatan (55.1 mata).

Artikel Berkaitan:

Pada masa Wallace mengakui kekangan dihadapi skuadnya dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19 yang tidak hanya melanda negara tetapi juga dunia ketika ini.

Namun jelas Wallace, beliau akan memanfaatkan baki tiga bulan ini dengan dengan pengisian terbaik walaupun mengakui tempoh masa singkat sebelum berlepas ke India.