Kematangan wakil rakyat Johor teruji

Johor apabila menjadi negeri pertama mengadakan persidangan DUN selepas Parlimen bersidang pada 26 Julai lalu.
Johor apabila menjadi negeri pertama mengadakan persidangan DUN selepas Parlimen bersidang pada 26 Julai lalu.
A
A
A

TANGGAL 12 Ogos 2021 merupakan detik bermakna buat Johor apabila menjadi negeri pertama mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas Parlimen bersidang pada 26 Julai lalu.

Pastinya sidang DUN ketika tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) menjadi tumpuan ramai berikutan ketegangan politik di peringkat pusat selain pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Persidangan DUN seharusnya digunakan sebagai medium untuk menunjukkan kematangan berpolitik tanpa perlu menangguk di air keruh demi meraih populariti, sebaliknya soal rakyat perlu menjadi keutamaan.

Itulah yang dapat disaksikan di Johor sebelum sidang bermula apabila tiada kenyataan mendahului parti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) yang dapat memberi kesan kepada sidang DUN.

Malah parti-parti politik juga baik di pihak pembangkang mahupun kerajaan masing-masing tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan suasana menjelang hari persidangan.

Kerajaan negeri Johor hari ini merupakan gabungan Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas yang memiliki majoriti tipis dengan 29 kerusi, berbanding 27 kerusi di blok pembangkang.

Gabungan ini dibentuk selepas Bersatu memberi laluan kepada UMNO untuk menerajui kerajaan negeri pada Februari tahun lalu.

Terdapat 56 kerusi DUN di Johor dengan agihan terkininya adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (dua), Pas (satu) sementara Amanah (enam) dan PKR (tujuh).

Artikel Berkaitan:

Sekali lagi, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan kesemua ADUN agar tidak menjadikan persidangan DUN sebagai medan perbalahan dan perebutan kuasa.

Perbincangan

Baginda turut bertitah supaya ADUN tidak mencemarkan dewan dengan perangai buruk, memandangkan sidang dewan suatu tempat yang mulia bukan ‘dewan sangkar beruk’.

Titah baginda, jika berlaku keadaan yang menjatuhkan kerajaan sekarang, baginda tidak akan teragak-agak membubarkan kerajaan Johor.

Ingatan kepada kesemua ADUN agar tidak merebut kuasa bukanlah pertama kali diberikan baginda, malah peringatan yang sama turut disuarakan pada Jun tahun lepas.

Ketika itu, Sultan Ibrahim memberi amaran untuk membubarkan DUN serta-merta jika perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat negeri itu terus berlaku.

Mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895, Sultan Johor berkuasa memansuhkan atau membubarkan DUN.

Sidang DUN pada 12 Ogos lalu ditangguhkan sehingga 22 Ogos bagi membolehkan penilaian berkaitan prosedur operasi standard (SOP) persidangan dilakukan.

Penangguhan itu diumumkan Speaker DUN, Suhaizan Kaiat setelah selesai titah pembukaan oleh Sultan Ibrahim.

Johor sebelum ini pernah mencuri tumpuan selepas menunjukkan kematangan wakil rakyatnya apabila mereka duduk semeja pada Mei lalu bagi bersama-sama mencari buah fikiran dalam mendepani usaha menangani wabak Covid-19.

Ia susulan titah Sultan Ibrahim yang meminta semua ahli Parlimen dan ADUN di negeri ini mengadakan perbincangan berhubung kebajikan rakyat Johor.

Johor terus membuktikan kematangan wakil rakyatnya apabila sesi perbincangan yang diadakan sebelum ini berjalan lancar dengan kesemua ADUN memberi kerjasama yang baik.

Begitu juga sebelum persidangan dan ketika sidang DUN, masing-masing menunjukkan kematangan dengan tidak memberikan kenyataan yang dapat mengeruhkan suasana meskipun berlaku ketidaktentuan politik di pucuk pimpinan parti.

Ketika negara masih diduga dengan pandemik Covid-19, semua pihak terutama wakil rakyat seharusnya mengetepikan agenda peribadi dan bersama-sama mencari titik penyelesaian serta bekerja untuk membantu rakyat.

Apabila sidang DUN Johor disambung semula pada 22 Ogos ini, kesempatan bersidang itu perlu digunakan sebaiknya sebagaimana titah sultan.

Kembalikanlah keyakinan rakyat terhadap ADUN yang dipilih dengan wakil rakyat menunjukkan kematangan masing-masing apabila sidang DUN disambung kelak.

* Nor Azura Md Amin ialah pemangku Ketua Wartawan Sinar Harian Johor