KDA FC pulun Penang FC di Darul Aman

KDA FC berjaya menewaskan Penang FC 4-1 dalam aksi derbi utara di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Selasa. - Foto ihsan FB Kedah Darul Aman FC
KDA FC berjaya menewaskan Penang FC 4-1 dalam aksi derbi utara di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Selasa. - Foto ihsan FB Kedah Darul Aman FC
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC kembali ke landasan kemenangan saingan Liga Super apabila mengatasi pasukan jiran tetangga, Penang FC 4-1 dalam aksi derbi utara di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Selasa.

Tuan rumah yang sebelum itu dijinakkan Selangor FC 4-2 di gelanggang sama 13 Ogos lalu bermula garang apabila mendahului hasil jaringan Tchetche Kipre dari luar kotak penalti pada minit ke-17 selepas menerima hantaran daripada ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar.

Gol itu nyata menyuntik semangat anak buah Aidil Sharin Sahak apabila melebarkan jaringan menerusi jaringan Baddrol pada minit ke-23 setelah mendapat lorongan daripada Kipre untuk kedudukan 2-0.

Hijau Kuning sekali lagi di depan kali ini hasil jaringan Kipre untuk gol kedua peribadinya selepas menyudahkan hantaran daripada Kpah Sherman pada minit ke-38.

Ketinggalan tiga gol tidak melemahkan semangat skuad Harimau Kumbang apabila kembali merapatkan kedudukan menerusi jaringan David Rowley pada minit ke-44 yang memanfaatkan hantaran Quentin Cheng hasil serangan pantas pelawat untuk kedudukan 3-1 pada babak pertama.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan memperkemaskan permainan masing-masing, namun tuan rumah akhirnya menambah jaringan pada minit ke-54 apabila Kpah berjaya mengelecek penjaga gol pelawat, Samuel Somerville di dalam kotak penalti selepas menerima hantaran daripada Rizal Ghazali.

Skuad kendalian Tomas Trucha berusaha untuk memberikan saingan kepada KDA FC, namun disiplin tinggi dipamerkan pemain Hijau Kuning mengekalkan keputusan 4-1 sehingga ke wisel penamat.

Kemenangan kesembilan selepas mengharungi 15 perlawanan menyaksikan KDA menghuni tangga keempat liga dengan mengumpul 29 mata manakala Penang FC pula kekal berada di kedudukan ketiga liga dengan 31 mata selepas mengharungi 18 perlawanan.

Artikel Berkaitan: