Jurutera, penolong jurutera antara lima ditahan kes rasuah

Lima individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor yang jumlah keseluruhannya dianggarkan lebih RM130,000.
Lima individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor yang jumlah keseluruhannya dianggarkan lebih RM130,000.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan lima individu termasuk seorang jurutera sebuah jabatan kerajaan bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor yang jumlah keseluruhannya dianggarkan lebih RM130,000.

Sumber SPRM berkata, dua lagi yang ditahan adalah penolong jurutera jabatan kerajaan, manakala dua lagi ialah pengurus syarikat kontraktor dan kesemua suspek lelaki berusia 37 hingga 45 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor antara jam 1.30 tengah hari hingga 5 petang Selasa selepas hadir memberi keterangan.

Menurutnya, sekitar tahun 2019 hingga tahun lalu, jurutera dan seorang penolong jurutera yang bertugas di sebuah daerah di Selangor itu dipercayai meminta dan menerima wang rasuah berjumlah lebih RM120,000 daripada kontraktor terbabit bagi mendapatkan kerja-kerja pembinaan jalan raya serta pembinaan sekolah tahfiz di daerah berkenaan.

“Difahamkan, kontraktor terbabit tidak layak untuk memperoleh projek itu, namun telah menggunakan nama syarikat-syarikat lain bagi membolehkan mereka mendapat projek itu.

“Sementara itu seorang lagi penolong jurutera yang bertugas di tempat yang sama pula dipercayai telah meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM8,000 daripada sebuah syarikat kontraktor sebagai balasan memperakukan kerja-kerja siap bagi penyelenggaraan dan pembaikan kecil ruang pejabat di jabatan itu,” katanya.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Semua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pada jam 9 pagi Rabu untuk permohonan reman. - Bernama

Artikel Berkaitan: