'Ahli Parlimen perlu bijaksana pilih PM baharu'

Mohammad Zahir
Mohammad Zahir
A
A
A

IPOH - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid meminta agar ahli-ahli Parlimen menggunakan kewarasan dan kebijaksanaan dalam memilih perdana menteri baharu.

Menurutnya, pemilihan itu nanti perlulah mengetepikan kepentingan parti dan peribadi agar lantikan dibuat terhadap seorang perdana menteri yang bersih, cekap dan amanah serta tidak kontroversi.

"Nasib Malaysia kini adalah di tangan ahli-ahli Parlimen.

"Mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang difikirkan baginda mempunyai sokongan majoriti dalam kalangan ahli Dewan.

"Jadi, marilah kita sama-sama berdoa agar ahli-ahli Parlimen kita ini diberikan kewarasan berfikir dan kebijaksanaan untuk melakukan yang betul dan baik dalam memilih perdana menteri baru kita," katanya melalui satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya di sini pada Selasa.

Mohammad Zahir berpendapat, lantikan perdana menteri itu nanti perlulah seorang yang cekap dan amanah serta benar-benar mampu membawa negara menangani pandemik Covid-19 dan krisis kestabilan politik.

Kata beliau, sebaiknya juga biarlah dilantik seorang perdana menteri yang dalam tempoh ini tidak bercita-cita menjadi perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) agar fokus untuk membuat perkara yang betul dan bukannya meraih populariti.

"Krisis pandemik Covid-19 perlu ditangani secara efektif supaya tidak lagi menjejaskan kehidupan rakyat, selain meletakkan kedudukan ekonomi di landasan betul bagi mempersiapkan negara mendapat manfaat optimum apabila pemulihan ekonomi dunia berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Krisis kestabilan politik negara ini hanya akan selesai dengan PRU dengan itu kita mengharapkan PRU15 dapat diadakan dalam tempoh enam ke 12 bulan dari sekarang.

"Pulangkanlah mandat ini kepada rakyat dan biar rakyat gunakan kebijaksanaan mereka untuk memilih Kerajaan baru yang stabil dan baik," katanya.

Pada Selasa, media melaporkan semua anggota Dewan Rakyat diarahkan menghantar surat akuan kepada Istana Negara dan menamakan calon pilihan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang ke-9.

Ahli-ahli Parlimen diberi masa selewat-lewatnya sehingga jam 4 petang esok (Rabu) untuk mengemukakan surat akuan secara bertulis.