Pengarah bertanggungjawab pastikan peralihan kepada ekonomi baharu

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PENGARAH syarikat bertanggungjawab bagi memastikan peralihan ke arah ekonomi digital baharu, kata bekas pengerusi jawatankuasa eksekutif Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO), Jane Diplock.

Diplock yang berkhidmat dengan IOSCO selama tujuh tahun dan kini merupakan ahli lembaga Singapore Exchange berkata, bagi menangani cabaran ekonomi baharu itu para pengarah perlu menumpukan kepada strategi syarikat yang mereka berkhidmat.

“Revolusi digital mentransformasikan semua aspek aktiviti komersial termasuk mentransformasikan pasaran, peserta pasaran dan cara bagaimana modal diukur, dinilai dan digunakan.

“Pada masa yang sama, revolusi perubahan iklim sedang berlaku dan membawa kepada kemunculan ekonomi global baharu,” katanya dalam ucap tama beliau pada Sidang Kemuncak Pengarah-Pengarah Korporat Pakatan Tadbir Urus Korporat Malaysia (MACD) 2021 yang diadakan secara maya pada Selasa.

Justeru itu Diplock berkata, pada Jun 2021, Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat Kumpulan Tujuh (G7) menekankan tentang keperluan untuk merangka sistem kewangan global hijau dan menyatakan sokongan mereka agar pendedahan berkaitan iklim dijadikan sebagai suatu yang mandatori, berdasarkan kepada Pasukan Petugas Khas bagi Pendedahan Kewangan Berkaitan Iklim (TCFD) Lembaga Kestabilan Kewangan.

TCFD menuntut pendedahan berkaitan dengan tadbir urus menilai risiko dan peluang perubahan iklim termasuk risiko dan peluang sebenar, kesannya ke atas strategi, metrik yang digunakan untuk menilainya dan bagaimana analisis disepadukan ke dalam strategi pengurusan risiko perusahaan semasa.

Beliau juga berkata, bukan kerajaan dan pengawal selia sahaja yang menggesa pendedahan iklim dan kelestarian malahan para pelabur turut membuat gesaan yang sama kepada lembaga pengarah.

“Pertama-tamanya, para pelabur melakukan dengan dana mereka.

Artikel Berkaitan:

“Menyedari peningkatan momentum dalam inisiatif sektor awam dan swasta bagi pendedahan berkaitan kelestarian, pengawal selia termasuk IOSCO menggesa International Financial Reporting Standards (IFRS) Foundation untuk memainkan peranan lebih ketara,” katanya.

IFRS Foundation diminta untuk menambah baik konsistensi, perbandingan dan kebolehpercayaan pelaporan bagi pelabur dengan membangunkan set standard kelestarian global yang sama, katanya.

Standard ini akan dirangka bagi memenuhi keperluan pelabur, untuk membolehkan pasaran menilai maklumat berkaitan kelestarian dan menyokong peruntukan modal, kata Diplock, sambil menambah ia menyediakan asas yang kukuh untuk dipertimbangkan semasa menetapkan dan melaksanakan standard mereka sendiri.

Beliau berkata tujuan perniagaan ialah menyelesaikan masalah manusia dan bumi secara bermanfaat, bukannya meraih keuntungan daripada tindakan yang menimbulkan masalah.

“Syarikat perlu memahami dan mampu berkomunikasi secara jelas mengenai bagaimana tujuan korporat mereka secara langsung memberi manfaat kepada pihak berkepentingan khusus, di samping menangani cabaran iklim dan kelestarian.

“Tujuan ini kemudiannya memacu model perniagaan syarikat,” katanya.

Diplock berkata dalam dunia di mana masa depan adalah sesuatu tidak pasti dan perubahan berlaku secara pantas, syarikat perlu berupaya mengharungi ancaman dan perubahan yang tidak dijangkakan, seterusnya bangkit dengan lebih kuat.

“Perniagaan yang dijalankan seperti kelaziman adalah tidak cukup. Ketika banyak syarikat masih memikirkan risiko dan daya tahan dari segi risiko kewangan, tuntutan dunia hari ini adalah lebih daripada daya tahan kewangan.

“Bahaya iklim yang buruk akan mengancam penyumberan, pengeluaran dan pengedaran produk serta perkhidmatan. Perubahan iklim pula menyebabkan peralihan berstruktur kepada profil risiko/pulangan syarikat yang akan mempercepat aspek atau situasi yang tidak seiring,” katanya.

Pada masa sama, beliau yakin masa depan geopolitik yang tidak pasti juga akan mengakibatkan hubungan komersial dan rantaian bekalan dalam dunia yang saling terhubung ini diancam.

“Syarikat akan dituntut supaya mempunyai fleksibiliti untuk bertindak balas secara serta-merta terhadap perubahan.

“Semua risiko ini perlu ditangani untuk membolehkan daya tahan korporat selain memastikan kemampanan korporat,” katanya.

Diplock berkata, adalah sesuatu yang amat positif apabila melihat ramai pengarah syarikat di seluruh dunia melaksanakan hala tuju baharu, memulakan usaha pelaporan iklim dan kelestarian, menyemak model perniagaan, menggunakan teknologi, menilai dan memahami risiko serta mempertingkatkan daya tahan masing-masing.

“Revolusi teknologi dan perubahan iklim akan mengubah dinamik pasaran modal bagi dekad akan datang.

“Amat diharapkan, apabila kita pulih daripada pandemik yang dahsyat ini, kita akan dapat menyaksikan usaha dan komitmen kerajaan, pihak pengawal selia, penentu standard, pengarah syarikat, pelabur, masyarakat dan pengguna di seluruh dunia dalam menangani isu ini ke arah merealisasikan pasaran modal global yang lebih makmur,” katanya. - Bernama