Sukan ragbi negara hilang sebutir permata: KRM

Ucapan takziah Kesatuan Ragbi Malaysia kepada keluarga Allahyarham Datuk Seri Abdul Ghafar Rajab. - Foto ihsan Facebook Kesatuan Ragbi Malaysia
Ucapan takziah Kesatuan Ragbi Malaysia kepada keluarga Allahyarham Datuk Seri Abdul Ghafar Rajab. - Foto ihsan Facebook Kesatuan Ragbi Malaysia
A
A
A

KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) menyifatkan pemergian bekas pemain kebangsaan era 80-an, Allahyarham Datuk Seri Abdul Ghafar Rajab yang meninggal dunia pagi Selasa, sebagai kehilangan sebutir lagi permata dalam sukan berkenaan.

KRM dalam kenyataan pada Selasa menyatakan, perilaku Allahyarham Abdul Ghafar yang bermain di posisi ‘fullback’ itu sentiasa menjadi contoh kepada pemain lain sehinggakan memberi kesan positif kepada pasukan kebangsaan.

Menurutnya, pemergian Allahyarham amat dirasai seluruh warga ragbi tanah air selepas arwah banyak berjasa dan mencurahkan khidmat dalam mengharumkan nama negara sepanjang penglibatannya dalam sukan itu.

“Jasa dan pengorbanan Allahyarham dalam arena ragbi tempatan dan antarabangsa pasti akan terus dikenang. Ia satu nama yang akan dikenang selamanya.

“KRM mewakili peminat dan seluruh warga ragbi tanah air ingin menyampaikan salam takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Abdul Ghafar Rajab,” menurut kenyataan itu.

Allahyarham yang merupakan bekas Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah seorang pakar sepakan ‘conversion’ dalam pasukan ragbi negara.

Pencapaian cemerlang Allahyarham dalam sukan ragbi berjaya meletakkannya dalam pasukan negara, bermula dengan mewakili pasukan kebangsaan bawah 23 tahun pada 1979.

Antara kejohanan antarabangsa disertai Allahyarham sepanjang menyarung jersi kebangsaan adalah Asian Rugby Football Union (ARFU) di Taiwan (1980) dan Jepun (1985) serta Kejohanan King’s Cup dari 1981-1985.

Artikel Berkaitan:

Abdul Ghafar, 63, yang dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia di sini sejak Khamis lepas, meninggal dunia dalam tidur pada jam 5.30 pagi.

Anaknya, Inspektor Mohd Qassim Abdul Ghafar ketika dihubungi Bernama berkata, bapanya yang menghidap kanser kerap dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Abdul Ghafar yang berkhidmat selama 39 tahun dalam PDRM pernah menjawat beberapa jawatan penting antaranya Ketua Polis Pulau Pinang, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman dan Pengarah Pengurusan Bukit Aman sebelum bersara wajib pada Julai 2018.

Allahyarham yang berasal dari Pontian, Johor meninggalkan seorang isteri dan tujuh anak. Jenazah disembahyangkan di Masjid Bukit Aman dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Persint 20, Putrajaya petang Selasa. - Bernama