Semua juruterbang, kru kabin bertugas Malaysia Airlines divaksinasi: MAG

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines mencatatkan tahap 100 peratus vaksinasi bagi juruterbang dan kru kabinnya yang bertugas, demikian menurut syarikat induknya Malaysia Aviation Group (MAG).

MAG melalui Dasar Imunisasi Covid-19 yang dimulakan pada Julai 2021 telah mewajibkan semua pekerjanya menerima vaksin Covid-19, kecuali mereka yang mempunyai sebab-sebab kesihatan dan perubatan.

Dalam kenyataan pada Selasa, MAG berkata, kumpulan itu berjaya mempercepatkan kadar vaksinasi kepada pekerjanya yang berpangkalan di Malaysia iaitu 95 peratus buat masa ini.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Kapten Izham Ismail berkata, kemajuan program vaksinasi yang terkini itu berhasrat memberi keyakinan dan ketenangan kepada penumpang untuk memilih perjalanan dengan mana-mana syarikat penerbangan di bawah MAG.

“Kami akan terus meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap perjalanan udara, mendorong pemulihan permintaan ke atas perjalanan domestik dan antarabangsa dan akhirnya, meletakkan Malaysia sebagai destinasi yang selamat apabila keadaan semakin reda,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: