Dadah bernilai RM62,961 disorok dalam semak

Dadah yang disembunyikan di sebuah rumah dekat Kampung Kuala Reman Jeneri, Sik, Kedah. Gambar kecil: Mohd Taufik Maidin
Dadah yang disembunyikan di sebuah rumah dekat Kampung Kuala Reman Jeneri, Sik, Kedah. Gambar kecil: Mohd Taufik Maidin
A
A
A

SIK - Seorang lelaki ditahan bersama dadah jenis syabu dan heroin bernilai anggaran RM62,961 di Kampung Kuala Reman, Jeneri, pada jam 6 petang, Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Mohd Taufik Maidin berkata, polis mengesan dadah jenis heroin seberat 0.9 kilogram yang disembunyikan dalam semak ketika serbuan dilakukan di sebuah rumah dalam kampung itu.

Menurutnya, dadah tersebut dibungkus dalam plastik warna hitam bertujuan mengaburi mata pihak penguatkuasa dan diletakkan dalam semak.

"Suspek merupakan warga tempatan berusia 33 tahun itu telah menunjukkan beberapa lokasi tempat bekalan dadah disembunyikan di sekitar kawasan luar rumah tersebut.

"Hasilnya, polis telah menjumpai satu bungkusan plastik warna hitam, di dalamnya terdapat tujuh paket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu anggaran berat 0.179 kilogram dan enam bungkusan berisi ketulan warna putih disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 2.48 kilogram," katanya.

Beliau berkata, anggaran berat keseluruhan dadah heroin yang dirampas ialah 3.38 kilogram dan dadah jenis syabu seberat 0.179 kilogram.

Nilai keseluruhan rampasan dadah bernilai RM 62,961.

Dua kenderaan milik suspek antaranya motosikal jenis Yamaha RXZ dan motosikal jenis Kawasaki KR150-K serta wang tunai berjumlah RM20,000 disita dengan nilai keseluruhan sitaan harta berjumlah RM37,300.

Artikel Berkaitan:

Suspek direman selama tujuh hari bermula Isnin hingga Ahad depan untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kejayaan ini adalah hasil usaha Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dalam memastikan aktiviti pengedaran dadah berbahaya berjaya ditumpaskan.

"Pihak polis juga sentiasa memerlukan kerjasama serta penglibatan masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti berkaitan dadah di sekeliling mereka dalam usaha membanteras kegiatan terbabit,"katanya.