X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Umpan khidmat seks, aksi lucah sebelum peras ugut

Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A

GEORGETOWN - Polis Daerah Timur Laut telah membuka 25 kertas siasatan berhubung pemerasan menggunakan taktik panggilan video lucah dan langganan perkhidmatan seks melalui media sosial sejak Januari sehingga semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua kes itu melibatkan mangsa lelaki berusia dalam lingkungan antara 17 hingga 50 tahun membabitkan kerugian berjumlah RM150,000.

Menurutnya, sindiket tersebut akan menggunakan media sosial dalam menjalankan kegiatan mereka antaranya termasuklah Facebook, Wechat, Michat, Line, Tinder dan beberapa lagi aplikasi lain.

"Sejak kebelakangan ini kewujudan satu sindiket yang melakukan pemerasan menggunakan taktik panggilan video lucah dan langganan perkhidmatan seks melalui media sosial berjaya dikesan.

"Bagi tawaran langganan seks, suspek akan meminta mangsa membuat bayaran tertentu sebagai wang pendahuluan dan seterusnya meminta bayaran tambahan daripada mangsa," katanya melalui kenyataan media pada Selasa.

Katanya, jika mangsa enggan mengikut arahan yang diberikan, suspek akan mengugut mangsa dengan menghantar gambar atau video mengenai kejadian seseorang yang dicederakan.

"Suspek mengugut mangsa kononnya mereka akan melakukan perkara yang sama terhadap mangsa. Selain itu, suspek juga akan memuat turun gambar mangsa di media sosial dan mengugut untuk menyebarkan gambar-gambar berkenaan dengan meletakkan keterangan jelik serta boleh menjatuhkan maruah mangsa.

"Mangsa yang ketakutan akan mengikut semua arahan suspek sehingga mengalami kerugian," katanya.

Sementara itu, bagi kes panggilan video lucah pula, Soffian berkata, suspek akan membuat panggilan video menggunakan wanita dengan aksi lucah.

"Ketika melakukan aksi itu, wanita tersebut akan meminta mangsa berbogel. Panggilan video tersebut akan dirakam suspek. Suspek kemudiannya akan mengugut mangsa untuk membuat bayaran sekiranya tidak mahu video tersebut disebarkan kepada kenalan mangsa atau ditularkan di media sosial.

"Suspek akan terus menghubungi mangsa menggunakan beberapa nombor telefon tempatan atau luar negara yang berlainan untuk mengugut dan menakutkan mangsa," katanya.

Soffian berkata, suspek akan menggunakan beberapa cara bayaran yang perlu dibuat mangsa antaranya pembelian Razer Gold, pemindahan wang dalam talian atau PayPal.

"Polis menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dalam menggunakan sebarang aplikasi dalam talian dan jangan sesekali terpedaya dengan tawaran perkhidmatan seks atau langganan urut dalam talian.

"Orang ramai juga dinasihati supaya tidak berkelakuan lucah semasa membuat panggilan video dengan mana-mana individu yang baru dikenali bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa sindiket ini," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan, Seksyen 385 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan ketakutan bencana bagi tujuan melakukan pemerasan serta Seksyen 233 Akta Kesalahan Multimedia dan Komunikasi 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium