Pejuang tubuh Majlis Penasihat Reset Terengganu

Wan Nazari
Wan Nazari
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Terengganu akan menubuhkan satu badan khas yang dikenali sebagai Majlis Penasihat Reset Terengganu bagi mendepani keresahan rakyat negeri ini.

Ketua Pejuang Terengganu, Datuk Ir. Wan Nazari Wan Jusoh berkata, majlis tersebut terdiri daripada golongan profesional kelahiran negeri ini yang berjaya dalam bidang akademik, perniagaan mahupun politik.

Menurutnya, usaha itu seiring dengan inisiatif Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mewujudkan Reset Malaysia bagi mendepani masalah ekonomi, sosial dan kesihatan lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19.

“Dalam situasi pandemik dan kekosongan tadbir urus kerajaan di peringkat persekutuan, adalah wajar untuk Pejuang Terengganu mengambil peluang daripada kelompongan ini dengan mengenal pasti kesusahan dan keresahan rakyat Terengganu.

“Antara perkara yang akan dibincangkan dalam majlis ini nanti adalah usaha untuk menonjolkan pemimpin baharu yang bersih, berwibawa dan berintegriti termasuklah pemimpin sedia ada yang bebas daripada gejala rasuah untuk menjadi pemimpin masa depan negeri Terengganu.

“Pejuang Terengganu juga akan membentuk satu program mendekati golongan sasar terutama orang-orang muda dan mengambil mereka sebagai pemimpin berpotensi pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Selasa.

Wan Nazari berkata, pihaknya telah dihubungi beberapa ahli politik veteran daripada pelbagai parti, golongan profesional dan ahli akademik tempatan untuk menyertai Pejuang sejak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan pada Isnin.

“Ini adalah sesuatu yang dinantikan oleh Pejuang dan kami mengalu-alukan kemasukan mereka ke dalam Pejuang demi masa depan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri Terengganu,” katanya.

Artikel Berkaitan: