PH Johor sedia hadapi sebarang kemungkinan

Wee Tse (kiri) dan Aminolhuda (kanan)
Wee Tse (kiri) dan Aminolhuda (kanan)
A
A
A

JOHOR BAHRU- Pakatan Harapan (PH) Johor bersedia menghadapi sebarang kemungkinan susulan keadaan politik negara yang masih tidak stabil.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, segala tindakan yang akan dilakukan PH Johor terdiri daripada Parti Amanah Negara ( Amanah), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP itu bergantung kepada situasi politik di peringkat nasional.

"PH Johor tunggu apa yang akan terjadi di peringkat nasional. Selagi tiada apa-apa perkembangan positif bagi PH di peringkat nasional itu, kita di Johor seperti biasa.

"Kerajaan Perikatan Nasional (PN) jatuh disebabkan perpecahan dalaman PN dan UMNO. Ia berlaku apabila UMNO tarik sokongan di peringkat nasional.

"Saya yakin kemungkinan perkara sama akan berlaku di negeri-negeri lain," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse ketika dihubungi membayangkan kemungkinan akan berlaku percaturan baharu terhadap politik di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Bukit Batu itu berkata, percaturan itu bergantung kepada pembentukan kerajaan baharu di peringkat persekutuan kelak.

"Sekiranya PKR ada dalam gabungan kerajaan baharu itu kemungkinan akan ada perbincangan untuk menunjukkan majoriti dalam demokrasi di peringkat negeri.

Artikel Berkaitan:

"Kalau PKR ada sokongan di Johor dengan gabungan baharu di peringkat persekutuan, tentu akan ada sedikit percaturan baharu dalam landskap politik negeri ini," katanya.

Kerajaan negeri pada hari ini merupakan gabungan Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( Bersatu) dan Pas dengan majoriti tipis 29 kerusi, berbanding 27 kerusi di blok pembangkang iaitu Pakatan Harapan.

Gabungan ini dibentuk selepas Bersatu memberikan sokongan kepada UMNO untuk menerajui kerajaan negeri selepas mengambil alih kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH) pada Februari tahun lalu.

UMNO Johor yang memimpin kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad memiliki 14 kerusi, diikuti Bersatu 12 kerusi termasuk DUN Gambir yang disandang Tan Sri Muhyiddin Yassin, MIC (dua) dan Pas (satu) manakala pembangkang dibarisi DAP dengan 14 kerusi, Amanah (6) dan PKR (7).

Johor masih menangguhkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula pada 12 Ogos lalu bagi membolehkan prosedur operasi standard ( SOP) lebih ketat dilakukan di dewan berkenaan.

Sidang berkenaan akan disambung semula pada 22 Ogos depan.