Angkasa mulakan mesyuarat agung negeri 2021 hari ini

Angkasa mengadakan MAN 2021 bermula Selasa sehingga 23 September mengikut giliran, dimulai dengan Pulau Pinang.
Angkasa mengadakan MAN 2021 bermula Selasa sehingga 23 September mengikut giliran, dimulai dengan Pulau Pinang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) mengadakan Mesyuarat Agung Negeri (MAN) 2021 bermula Selasa sehingga 23 September mengikut giliran, dimulai dengan Pulau Pinang.

Angkasa dalam satu kenyataan memaklumkan MAN, yang dahulunya dikenali sebagai Persidangan Negeri Angkasa telah diberi pengecualian untuk mengadakan mesyuarat pada tahun lepas dalam usaha mengekang jangkitan Covid-19 di bawah subseksyen 87(1) Akta Koperasi 1993 (Akta 502).

“Koperasi masih tertakluk kepada subseksyen 39 (1) Akta 502 untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan pada tahun 2021. Justeru, Angkasa mengambil inisiatif memastikan tanggungjawab ini dapat dilaksanakan dengan mengadaptasi penggunaan teknologi dan menjalankan MAN2021 secara hibrid.

"Kepimpinan tertinggi Angkasa yang diterajui oleh Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah bersiaran secara langsung dari Ibu Pejabat Wisma Ungku A Aziz, Kelana Jaya dan para perwakilan berada di lokasi masing-masing tanpa perlu berkumpul secara fizikal,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

MAN 2021 pertama kalinya bersidang dalam suasana norma baharu mengikut prosedur operasi standard (SOP) berdasarkan perkembangan semasa pandemik Covid-19 dengan melibatkan 16 lokasi Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri di seluruh negara.

Dalam pada itu, Abdul Fattah menerusi ucapan perasmian Mesyuarat Agung Negeri Pulau Pinang pada Selasa berkata, Angkasa menyatakan komitmen untuk menjayakan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021 hingga 2025 (TransKom) dan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN2030).

Katanya, ia bagi membantu merealisasikan agenda kerajaan untuk memacu gerakan koperasi menyumbang sebanyak RM60 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025. - Bernama

Artikel Berkaitan: