Penang mahu kekal rentak kemenangan

Penang FC kini berada di kedudukan ketiga Liga Super dengan 31 mata selepas mengharungi 17 perlawanan. - Foto Penang Football Club
Penang FC kini berada di kedudukan ketiga Liga Super dengan 31 mata selepas mengharungi 17 perlawanan. - Foto Penang Football Club
A
A
A

PENANG FC mahu meneruskan momentum kemenangan sebagai matlamat utama tanpa memfokuskan pemburuan bagi mengukuhkan tempat ketiga Liga Super apabila bertandang ke Stadium Darul Aman berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC malam ini.

Menghormati kekuatan tuan rumah yang pasti mahu bangkit selepas tewas 2-4 kepada Selangor FC pada Jumaat lalu, ketua jurulatihnya, Tomas Trucha, berkata, beliau hanya berikan tumpuan kepada persiapan sendiri tanpa memikirkan mengenai lawan.

Ditambah kehilangan tiga pemain utama iaitu Ryuji Utomo, Khairu Azrin Khazali dan Casagrande yang tidak dapat diturunkan, pengendali yang berasal dari Republik Czech itu tidak berselindung perancangan mereka banyak terjejas.

“Saya belum memikirkan dari segi itu bagi mendapatkan tempat ketiga jika kita menang dengan Kedah kerana banyak kali saya jelaskan kami hanya berikan tumpuan dari satu ke satu perlawanan.

“Buat masa ini saya rasakan pemain-pemain telah melakukan tugas dengan cemerlang walaupun perlawanan sebelum itu kami tewas 1-4 dengan Selangor namun mereka bangkit untuk menang 2-1 semasa berdepan Melaka.

“Secara keseluruhan sepanjang musim ini, saya rasa kami telah buktikan banyak perkara dan harap kami mampu meneruskan rentak cemerlang ini sehingga penghujung musim.

“Saya tidak nafikan pasukan serba sedikit terganggu tanpa tiga pemain utama kerana penggantungan perlawanan, tetapi saya optimis pemain yang gantikan tempat mereka masih boleh membantu kemenangan pasukan.

“Situasi David Rowley juga masih saya pantau selepas tidak bermain dengan Melaka dan semuanya bergantung kepada situasi latihan terakhir yang kita akan jalani bagi menentukan sama ada dia boleh diturunkan,” katanya yang dipetik dari laman Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Artikel Berkaitan:

Ketiadaan Utomo di bahagian pertahanan dijangka akan digalas Abdul Latiff Suhaimi manakala David Rowley atau Fadhil Idris berpeluang diturunkan dalam kesebelasan utama bagi mengisi posisi Khairu Azrin.

Sementara itu di posisi serangan, penjaring gol kemenangan Penang semasa berdepan Melaka, Sheriddin Boboev hampir pasti menjadi taruhan utama Trucha selain dibantu Endrick dos Santos.

Penang FC yang kini berada di tangga ketiga berpeluang menjarakkan kedudukan dari Selangor dengan perbezaan lima mata jika mampu mengatasi Kedah selain merapati kedudukan Terengganu FC di tangga kedua melalui jurang tiga mata.

Ini merupakan satu pencapaian yang luar biasa buat Penang yang merupakan pendatang baharu Liga Super selepas muncul juara Liga Premier pada musim lalu.

Penang akan terbang ke Kota Kinabalu bagi pertemuan dengan Sabah pada Ahad di Stadium Likas selepas berdepan Kedah.