Covid-19: 19,631 kes baharu, sifar kes di Labuan

Selangor kekal sebagai negeri merekodkan kes tertinggi dengan 5,753 kes.
Selangor kekal sebagai negeri merekodkan kes tertinggi dengan 5,753 kes.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kes baharu positif Covid-19 kekal di bawah 20,000 dua hari berturut-turut dengan 19,631 individu disahkan positif pada Selasa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor kekal negeri tertinggi melaporkan kes baharu iaitu 5,753 kes.

Bagaimanapun, kes di Sabah melonjak kepada 2,103 mengatasi Kedah (1,863), Kuala Lumpur (1,765), Johor (1,309), Pulau Pinang (1,275), Kelantan (1,268) dan Perak (1,101).

Negeri yang dilihat terkawal dalam penularan adalah Sarawak (835), Pahang (670), Melaka (623), Terengganu (498), Negeri Sembilan (490), Putrajaya (41) dan Perlis (37).

Labuan mengulangi rekod Sabtu lalu apabila sekali lagi mencatatkan sifar kes.

"Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negara ini adalah 1,444,270," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut mengenai jangkitan baharu, beliau berkata, sebanyak 305 kes terdiri daripada kategori tiga ke atas.

"Sebanyak 19,326 kes lagi adalah kategori satu dan dua," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan status imunisasi yang dikeluarkan, terdapat 63 kes dirawat pada kategori lima yang mana tidak mempunyai atau melengkapkan vaksinasi berbanding 15 individu telah lengkap dos suntikan dan dirawat pada kategori sama.

Sebanyak 8,024 kes tidak mempunyai dan tidak lengkap vaksinasi dikesan pada kategori satu dan 8,362 kes pada kategori dua.

Individu yang lengkap vaksin dan dikesan positif pada kategori satu dan dua masing-masing adalah 1,327 dan 1,613 kes.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 252,147 kes aktif di seluruh negara.

"Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) adalah 1,054 termasuk 525 pesakit memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Sementara itu, terdapat 293 kes kematian dilaporkan membabitkan 251 warganegara dan 42 warga asing.

Daripada jumlah tersebut, terdapat 44 kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) yang terdiri daripada 28 rakyat tempatan dan 16 warga asing.

Jumlah keseluruhan kes kematian adalah 13,077 kes.

Bagi kes sembuh pula, terdapat pertambahan sebanyak 16,468 kes sekaligus menjadikan jumlah keseluruhannya, 1,179,046.

Tambahnya, sebanyak 39 kluster baharu dikenalpasti membabitkan 23 kluster tempat kerja dan 13 kluster komuniti.

"Turut dikesan dua kluster pusat tahanan dan satu Kluster berisiko tinggi," katanya.

Jumlah keseluruhan kluster kata beliau, yang telah dikenal pasti adalah 4,257 yang mana 2,897 sudah diisytiharkan tamat.

Bakinya, 1,360 kluster masih aktif dan merekodkan pertambahan kes.