Sabah alu-alukan bantuan Amerika Syarikat

Hajiji berhubung secara maya dengan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian D Mcfeeters.
Hajiji berhubung secara maya dengan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian D Mcfeeters.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah menzahirkan penghargaan kepada Amerika Syarikat atas pelbagai bantuan yang diberikan kepada negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan perkara itu ketika berhubung secara maya dengan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian D Mcfeeters pada Isnin.

"Kami berterima kasih dengan semua bantuan yang diberikan oleh Amerika Syarikat kepada Malaysia dan Sabah dalam bidang pendidikan, pemuliharaan alam semula jadi dan yang terbaharu bantuan untuk memerangi pandemik Covid-19.

"Bantuan ini akan mempercepatkan lagi usaha kami dalam memerangi cabaran susulan penularan pandemik Covid-19," katanya.

Hajiji dalam pada itu turut menyambut baik janji duta iaitu sebanyak AS$1 juta untuk usaha pemuliharaan hidupan liar di Sabah bagi melengkapkan program pelindungan hidupan liar yang sedang dilaksanakan di negeri ini.

Mcfeeters turut menawarkan kerjasama bersama dalam konservasi hutan yang merujuk kepada program Heart of Borneo (HoB), inisiatif konservasi rentas sempadan secara meluas hingga ke Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia sendiri.

Menerusi sidang secara maya itu juga, Hajiji dan Mcfeeters turut menyentuh pelbagai isu lain termasuk isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pemerdangangan manusia, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan kerjasama Kedutaan Besar Amerika Syarikat dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk menangani keganasan.

Artikel Berkaitan: