Misteri penemuan batu hidup di tanah perkuburan

Timbul tanda tanya mengenai pemilikan makam ini apabila batu megalith digunakan sebagai nisan di Tanah Perkuburan Islam Bekoh.
Timbul tanda tanya mengenai pemilikan makam ini apabila batu megalith digunakan sebagai nisan di Tanah Perkuburan Islam Bekoh.
A
A
A

TANGKAK - Penemuan beberapa batu megalith atau dianggap batu hidup di Bekoh, di sini, pastinya mengejutkan ramai pihak.

Ini kerana belum pernah lagi tercatat dalam sejarah kewujudan batu berkenaan di negeri ini apabila ia kerap ditemui dalam wilayah Minangkabau melibatkan Negeri Sembilan dan Melaka khususnya Naning.

Namun pakar pengkaji sejarah, Mohd Azlan Mohd Sharif bersama beberapa rakannya mendedahkan misteri itu selepas berjaya menjejaki batu yang sering kali dianggap keramat ekoran mampu berubah saiz dari semasa ke semasa.

“Misteri ini berjaya ditemui apabila saya dibawa sahabat pengkaji sejarah tempatan iaitu Johan Jauhar dibantu penduduk setempat, Rosdi Ramli dan Noja Kordil melawat tiga lokasi batu megalith.

“Kesemuanya berada di Kampung Bekoh, di sini,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Azlan berkata, batu megalith dikesan di Kampung Buyan, Kampung Dok dan Tanah Perkuburan Islam Bekoh di mana ia turut menempatkan makam ibu Tun Sulaiman Ninam Shah.

“Lokasi batu di Kampung Buyan ini berada dalam tanah persendirian bersama nisan biasa. Manakala di Kampung Dok pula terletak di belakang ladang ayam dan tanah wakaf.

“Namun, menarik perhatian kami juga adalah batu megalith yang dijadikan nisan di dua pusara di Tanah Perkuburan Islam Bekoh. Hal ini mengejutkan kerana ini kali pertama batu megalith ditemui di luar pengaruh wilayah Minangkabau,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Perlu kajian mendalam

Dalam pada itu Rosdi berkata, kajian berhubung sejarah batu megalith perlu dilaksanakan agar riwayat dan kepentingan barangan itu diketahui.

“Bagi saya, misteri batu megalith di bumi Melayu ini masih belum terungkai. Hujah Muzium Negara pernah menegaskan penemuan batu megalith dalam kordinasi arah utara-selatan dan timur-barat yang mana tidak terdapat bukti menunjukkan bahawa tapak-tapak megalith di Semenanjung Malaysia adalah tapak bersejarah atau tanah perkuburan seperti yang dipercayai oleh masyarakat tempatan.

Batu megalith yang ditemui di Kampung Dok.
Batu megalith yang ditemui di Kampung Dok.

“Bagaimanapun, pihak pengkaji Sejarah Naning menyangkal hujah Muzium Negara itu. Mereka mendakwa batu megalith adalah warisan Naning yang digunapakai sebagai nisan untuk kubur lama kerana telah banyak penemuan objek itu di kawasan perkuburan lama Islam dalam wilayah Naning,” katanya.

Ujarnya, pertembungan dua fahaman ini seharusnya dileraikan dengan membuktikan saintifik melalui kajian ilmiah.

“Hipotesis di minda saya ialah adakah batu megalith ini berperanan sebagai terminal medan kuasa alam iaitu ilmu teknologi purba alam Melayu?

“Atau sememangnya ia digunakan sebagai batu nisan bagi kubur golongan berdarjat tinggi untuk warisan Naning di mana mereka adalah dalam kalangan kerabat diraja dan bangsawan,” katanya.

Nilai sejarah tinggi

Dalam pada itu, Mohd Azlan dan Rosdi berharap agar pihak berkepentingan mengambil maklum berhubung penemuan objek bersejarah ini.

Antara batu megalith yang ditemui.
Antara batu megalith yang ditemui.

“Mungkin pihak berkaitan boleh turun padang untuk meneliti bagaimana wujudnya batu megalith di Kampung Bekoh, Johor tanpa disedari orang ramai selama ini. Selain itu, ia juga dapat mencari persoalan yang timbul mengenai polemik bahawa dahulunya Kampung Bekoh, Johor ini pernah berada di dalam wilayah Naning.

“Saya juga cadangkan agar kajian ilmiah batu megalith ini dapat dilakukan seperti mana kajian Batu Aceh yang berjaya dikaji Yayasan Warisan Johor pada 1999 dan 2004,” katanya.

Katanya, penemuan itu diharap dapat mengukuhkan peranan Persatuan Sejarah Malaysia tempatan dalam membantu merancakkan industri pelancongan jika kawasan ini dibangunkan nanti menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020.