X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Hampir semua sektor ekonomi di Pulau Pinang dibenarkan beroperasi

Kon Yeow ketika membuat lawatan ke RiVAC di Gurney Paragon, Georgetown pada Selasa.
A
A

GEORGETOWN- Hampir semua sektor ekonomi dibenarkan untuk beroperasi semula pada Selasa walaupun Pulau Pinang belum mencapai 50 peratus kadar vaksinasi penuh untuk populasi dewasa.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, mengikut prosedur operasi standard (SOP) terbaharu yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), 11 sektor ekonomi telah diberi kelonggaran untuk dibuka semula bermula 16 Ogos.

Menurutnya, banyak sektor telah dibenarkan beroperasi bermula Selasa tanpa perlu menunggu 50 peratus kadar vaksinasi bagi dos kedua untuk populasi dewasa.

"Susulan pengumuman SOP baharu yang dikeluarkan MKN itu, ia bermakna sebahagian besar sektor runcit di Pulau Pinang kini boleh dibuka semula.

"Kedua-dua pihak berkuasa tempatan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan mengeluarkan SOP masing-masing mengenai hal ini," katanya pada sidang akhbar Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) di Gurney Paragon, di sini pada Selasa.

Pada Ahad, sebanyak 11 sektor ekonomi dibenarkan dibuka semula untuk negeri-negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 16 Ogos antaranya kedai cuci kereta; kedai perabot; kedai pakaian, kedai peralatan sukan dan kedai barang kemas.

Perdana Menteri Sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira data penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, sehingga kini, Pulau Pinang telah mencapai 38.1 peratus vaksinasi penuh.

"Pulau Pinang dijangka mencapai 40 peratus pada Khamis ini. Saya yakin, kita akan mencapai 50 peratus vaksinasi sepenuhnya untuk populasi dewasa pada akhir bulan ini.

"Ia amat penting untuk kita capai walaupun kita tidak perlu lagi mencapai 50 peratus untuk pembukaan semula sektor ekonomi susulan MKN telah mengemaskini SOP," katanya.

Mengenai kadar vaksinasi dos pertama, Kon Yeow berkata, Pulau Pinang sedang memasuki tahap akhir untuk menyelesaikan pemberian dos pertama kepada populasi dewasa.

"Kita sudah mencapai 71.5 peratus untuk dos pertama bagi populasi dewasa.

"Kita dijangka mencapai 100 peratus pada minggu pertama September," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!