X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Majikan tawar 1,500 peluang kerja di Kelantan

Sebanyak 1,500 peluang pekerjaan akan ditawarkan kepada rakyat Kelantan yang terkesan dengan serangan pandemik Covid-19 menerusi Mini Karnival Kerjaya dan Usahawan Wanita Peringkat Negeri Kelantan secara dalam talian pada 18 dan 19 Ogos ini.
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak 1,500 peluang pekerjaan akan ditawarkan kepada rakyat Kelantan yang terkesan dengan pandemik Covid-19 menerusi Mini Karnival Kerjaya dan Usahawan Wanita Peringkat Negeri Kelantan secara dalam talian pada 18 dan 19 Ogos ini.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan, Nora Yaakob berkata, peluang itu ditawarkan menerusi kerjasama antara 10 majikan dalam usaha membantu meringankan beban penduduk yang hilang pekerjaan akibat Covid-19 menerusi platform portal MyFutureJobs.

Menurut beliau, sehingga 15 Ogos, statistik di portal MyFutureJobs bagi negeri ini menunjukkan seramai 42,502 individu yang mencari pekerjaan telah berdaftar.

"Ia turut melibatkan 1,299 majikan dengan menawarkan 3,800 jawatan kosong kepada pencari kerja.

"Portal ini (MyFutureJobs) adalah Portal Pekerjaan Negara yang membantu orang ramai mendapat pekerjaan menerusi padanan yang bersesuaian, pada masa sama ia turut memudahkan majikan mencari tenaga kerja," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Nora berkata, Perkeso Kelantan berharap ia dapat membantu masyarakat mendapatkan pekerjaan sekaligus mampu mengisi peluang pekerjaan yang ditawarkan.

Beliau berkata, pencari kerja disarankan untuk berdaftar dan menggunakan Portal MyFutureJobs menerusi www.myfuturejobs.gov.my untuk mencari pekerjaan.

Tambahnya, hal ini kerana portal itu adalah medium terbaik dalam menghadapi cabaran norma baharu dan mampu mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia.

"Untuk makluman di Kelantan pada tahun lalu, sebanyak 2,484 kes kehilangan pekerjaan direkod dan sebanyak RM7 juta bayaran faedah di bawah Sistem Insurans Pekerjaan telah diberikan kepada mereka yang terlibat.

"Bagaimanapun, sehingga 31 Julai tahun ini sebanyak 495 kes kehilangan pekerjaan direkodkan membabitkan bayaran berjumlah RM4 juta," katanya.

Katanya, penganjuran itu turut dimeriahkan dengan sesi taklimat berkaitan persediaan sebelum temuduga, ketrampilan diri, perkongsian oleh usahawan dan juga taklimat portal MyFutureJobs.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!