Konflik baharu Pakistan- India

No Image Caption
A
A
A

DUA kuasa nuklear, India dan Pakistan menghadapi ketegangan paling buruk dalam tempoh beberapa tahun di wilayah bergolak Kashmir susulan insiden Islamabad menembak jatuh dua jet pejuang India dan turut menahan juruterbangnya.

Sebagai respons, Pakistan bertindak menutup ruang udara negaranya hingga menjejaskan operasi penerbangan awam.

Tetapi, bagaimana hubungan antara dua negara ini menjadi keruh dan apa yang menjadi punca konflik terburuk itu walaupun kedua-dua belah pihak mendakwa mereka mahu mengelakkan ketegangan yang semakin meningkat.

Apa yang mencetuskan krisis itu?

Pada 14 Februari, pengebom berani mati menyerang konvoi pasukan separa tentera di wilayah Kashmir yang meragut sekurang-kurangnya 41 nyawa. Kumpulan militan, Jaish-e-Mohammed (JeM) yang berpusat di Pakistan mengaku bertanggungjawab mendalangi serangan itu.

New Delhi telah sekian lama menuduh Islamabad melindungi kumpulan militan, namun dinafikan sekeras-kerasnya oleh negara itu. Selepas beberapa kali mengeluarkan amaran, India akhirnya melancarkan serangan udara menyasarkan kem militan berhampiran Balakot di Pakistan.

New Delhi mendakwa serangan itu mengorbankan sejumlah besar militan, namun Islamabad menyatakan tiada kematian dilaporkan dalam operasi disifatkan sebagai 'terburu-buru' itu.

Kenapa ketegangan itu sangat bahaya?

Kedua-dua negara terbabit dipercayai memiliki lebih 100 kepala peledak nuklear dan pernah menjalankan ujian senjata nuklear. Pakistan hanya perlu mengambil masa kurang daripada empat minit untuk melancarkan misil ke India.

The Bulletin of Atomic Scientists memberi amaran model komputer telah meramalkan impak fizikal serangan balas antara India dan Pakistan yang akan mengakibatkan kemusnahan besar dan bergema di seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

Bagaimana pertikaian ke atas Kashmir bermula?

Apabila Britain memberikan kemerdekaan kepada wilayah itu pada 1947, ia membahagikan benua kecil India kepada penduduk Hindu dan majoriti Islam Pakistan. Sesetengah kawasan juga boleh menentukan nasib mereka sendiri.

Di Kashmir, satu-satunya kawasan majoriti Islam yang diperintah pemimpin Hindu bagaimanapun tidak memberi pilihan kepada penduduknya yang telah mencetuskan Perang India-Pakistan pertama pada 1947. Konflik itu bagaimanapun berakhir pada 1949 apabila Resolusi PBB menubuhkan Garisan Kawalan membahagikan Kashmir antara kedua-dua negara.

New Delhi dan Islamabad sekali lagi terlibat dalam peperangan kedua ke atas Kashmir pada 1965.

Apa yang berlaku sejak itu?

India dan Pakistan kembali terjerumus dalam perang ketiga pada 1971 ke atas Pakistan Timur yang kemudiannya menjadi Bangladesh selepas memperoleh kemerdekaan. Pada 1999 dan 2000, tindakan tentera Pakistan menghantar pasukan ke kawasan dikuasai India di Kargil menyebabkan kedua-dua negara berdepan konflik dan telah mencetuskan kebimbangan dunia yang kemudiannya mendesak mereka menarik diri daripada ambang perang kerana dikhuatiri akan menjadi konflik nuklear. Walaupun ketika situasi 'damai', kedua-dua negara itu masih terlibat dalam perang retorik yang agresif.

Bagaimana perbezaan kekuatan tentera India dan Pakistan?

India yang mempunyai populasi sehingga 1.3 bilion penduduk mempunyai kira-kira 1.4 tentera konvensional manakala Pakistan yang mempunyai populasi lebih 200 juta penduduk mempunyai kira-kira 650,000 tentera. Kedua-dua negara telah menghabiskan bilion dolar membangunkan senjata konvensional.

Tahun lalu, Pakistan telah memperuntukkan kira-kira AS$11 bilion (RM45 bilion) atau 3.6 peratus daripada produk domestik kasarnya untuk pertahanan. Peruntukan India pula adalah kira-kira AS$58 bilion (RM236 bilion) atau 2.1 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Menurut Institut Kajian Strategik Antarabangsa, perbelanjaan ketenteraan India telah meletakkannya sebagai negara kelima terbesar dunia yang memperuntukkan bajet tinggi untuk ketenteraan mengatasi Britain.

Bagaimana reaksi Pakistan?

Islamabad yang mempunyai sejarah rampasan kuasa tentera bertindak balas dengan tenang dan turut menawarkan rundingan dengan India. Pada mulanya, Menteri Luar, Shah Mahmood Qureshi mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara itu.

Qureshi mendakwa Perdana Menteri India, Narendra Modi bermain dengan kestabilan serantau untuk meraih sokongan menjelang pilihan raya umum akan datang. Susulan itu, rakan sejawatannya di Pakistan, Imran Khan telah meminta India berdialog.

Bagaimana respons India?

Kerajaan India menggelar serangan udara ke atas kem militan itu sebagai operasi antikeganasan selepas sumber risikan yang boleh dipercayai mendakwa akan berlaku serangan susulan ke atas negara itu. Ia dilancarkan selepas New Delhi beberapa kali memberi amaran tidak akan berdiam diri dan bakal mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan militan yang berpusat di Islamabad.

Ketegangan itu dilihat akan memberi kelebihan kepada Modi dan Parti Bharatiya Janata untuk mengekalkan kuasanya menjelang pilihan raya pada Mei depan. Parti pembangkang turut menyatakan sokongan terhadap pasukan tentera udara India yang terlibat operasi itu dan Modi kini menerima sokongan meluas kumpulan nasionalis sosial Hindu. - Arab News