X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

Malaysia dijangka mencapai status negara menua pada tahun 2030

Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A

SHAH ALAM - Malaysia akan mencapai status negara menua lebih awal daripada jangkaan sekiranya situasi pandemik Covid-19 berterusan untuk tempoh yang panjang susulan trend penurunan bilangan kelahiran yang dicatatkan negara.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukur Abdullah berkata, berdasarkan unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia, Malaysia dijangka mencapai status negara menua pada tahun 2030 apabila 15 peratus penduduknya berumur 60 tahun ke atas.

"Namun, situasi pandemik Covid-19 yang berlaku pada ketika ini memungkinkan status tersebut dicapai lebih awal.

“Penemuan tinjauan pendapat umum yang dilaksanakan LPPKN pada April 2020 mendapati 53 peratus responden menjangkakan situasi pandemik ini akan mengakibatkan peningkatan bilangan kelahiran penduduk.

"Namun, majoriti daripada mereka (61 peratus) mengambil keputusan untuk menangguhkan atau merancang semula kehamilan mereka,” katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.

Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan pada tahun 2020, populasi berusia 60 tahun dan ke atas meningkat daripada 3.4 juta (2019) kepada 3.5 juta yang mewakili 10.7 peratus daripada jumlah penduduk.

Abdul Shukur berkata, kadar penurunan kelahiran sebanyak 4.4 peratus yang dicatatkan pada suku kedua tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas pada asasnya telah dijangkakan akan berlaku.

Beliau berkata, antara faktor yang menyebabkan pasangan menangguhkan perancangan untuk menimang cahaya mata adalah disebabkan oleh kekurangan wang simpanan (58 peratus), bimbang diri dijangkiti Covid-19 (34 peratus) dan bimbang akses rawatan kehamilan akan terganggu disebabkan situasi pandemik (32 peratus).

Mengulas lanjut, katanya, trend penurunan bilangan kelahiran ini sememangnya akan memberi impak kepada kadar pertumbuhan penduduk yang mempercepatkan proses penuaan penduduk negara, malah sekiranya trend ini berterusan negara juga akan mengalami kekurangan tenaga buruh pada masa akan datang.

"Dengan itu, negara perlu bergantung kepada tenaga kerja asing bagi mengatasi kekurangan tenaga buruh tempatan. Bagaimanapun, menjelang tahun 2050 nanti, kebanyakan negara sumber tenaga kerja asing seperti India, Bangladesh, Filipina dan Myanmar akan turut mengalami proses penuaan penduduk dan kekurangan tenaga buruh tempatan," katanya.

Oleh demikian, Abdul Shukur berkata, keadaan ini akan memaksa negara-negara sumber tersebut untuk mengekalkan pekerja tempatan mereka daripada berhijrah ke negara luar seperti Malaysia.

"Sebagai persediaan untuk menjadi negara menua, adalah penting bagi negara untuk meminimumkan ketidaksepadanan antara kemahiran yang dimiliki dengan pekerjaan yang dilakukan oleh penduduk di negara ini. Malah sejak berlakunya pandemik Covid-19, jurang ketidaksepadanan ini adalah semakin ketara," katanya.

Menurutnya, berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, didapati bilangan siswazah menganggur telah meningkat sebanyak 22.5 peratus, iaitu daripada sekitar 165,200 orang pada tahun 2019 kepada kira-kira 202,400 orang pada tahun 2020.

"Dalam tempoh yang sama, dilaporkan bahawa peratusan siswazah yang bekerja dalam kategori mahir telah berkurang sebanyak 0.8 peratus sementara mereka yang bekerja dalam kategori separuh mahir sebaliknya meningkat sebanyak 19.3 peratus, terutamanya bagi pekerjaan perkhidmatan dan jualan, dan operator loji dan mesin serta pemasangan," katanya.

Dalam pada itu, katanya, hasil kajian LPPKN pada tahun 2018 mengunjurkan negara berpotensi untuk mengalami penguncupan penduduk buat kali pertama pada tahun 2072.

"Melalui kajian ini, diunjurkan bahawa penduduk negara akan kekal bertambah sehingga mencecah jumlah maksimum seramai 46.09 juta orang pada tahun 2071 sebelum mula berkurang kepada 46.08 juta orang pada tahun 2072," katanya.

Namun, Abdul Shukur berkata, terdapat kemungkinan negara akan mengalami penguncupan penduduk lebih awal sekiranya bilangan kelahiran menurun secara berterusan pada masa akan datang kesan daripada penularan pandemik Covid-19. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!