X

Kindly register in order to view this article
!

Permaisuri Agong harap mampu gemilangkan industri kraf negara

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar berkenan menyampaikan anugerah kepada Penerima Anugerah Usahawan Kraf Wanita Rohani Md Piah sempena Hari Kraf Kebangsaan 2019 di Kompleks Kraf Jalan Conlay hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar bertitah pelbagai usaha boleh dilaksanakan bagi memastikan seni kraftangan dan warisan negara lebih gemilang.

Permaisuri Agong bertitah antara yang utama dan penting ialah usaha untuk memasarkan, mengembangkan serta memajukan teknologi dalam industri kraf dan seni warisan tempatan.

"Sebagai rakyat Malaysia banyak yang boleh kita lakukan untuk mempromosikan seni tikar, tenun songket, tembaga, ukiran, tekat, batik, sulaman dan sebagainya dengan kemudahan serta kecanggihan teknologi.

"Bagi saya (beta), berada di sini seolah-olah ‘bagai sirih pulang ke gagang’. Di sinilah tempat saya, dan selama 15 tahun tempat ini menjadi kawasan ‘permainan’ saya.

"Di sinilah juga, ramai individu yang memberikan saya pengetahuan bagaimana untuk memajukan kraftangan tempatan. Terima kasih kepada semua,” titah baginda ketika berkenan merasmikan Hari Kraf Kebangsaan 2019 (HKK 2019) di Kompleks Kraf Kuala Lumpur Jalan Conlay.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Mohamaddin Ketapi, Timbalan Menteri MOTAC Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Ibrahim Ismail.

Tunku Hajah Azizah berkata istana juga memainkan peranan yang sangat penting untuk kebangkitan semula kraf Melayu dan untuk menaungi warisan ini.

“Saya berharap saya berjaya laksanakannya dalam tempoh lima tahun ini dengan sokongan kementerian,” titah baginda.

“Minat saya dari hati. Saya tidak datang ke sini semata-mata untuk menyerikan majlis ini. Kalau tak percaya tanyalah semua yang dari Kraftangan, muka sayalah yang selalu hadir di sini (Kompleks Kraf Kuala Lumpur).

"Terima kasih juga kepada Kraftangan Malaysia kerana membantu mendokumentasikan silibus bagi Institut Kemahiran Tenun Pahang DiRaja Tengku Ampuan Besar Meriam (IKTPD) di Pekan, Pahang. Selain usaha itu saya juga telah menubuhkan sebuah kelab Pencinta Kraf Tradisional," titah baginda.

Permaisuri Agong kemudiannya turut berkenan mencemar duli menyampaikan Anugerah Usahawan Kraf Wanita 2019 kepada Rohani Md Piah dari Syarikat Warisan Craft Wood, Pahang yang mengusahakan perniagaan ukiran kayu.

Tun Mohd Anuar Tuan Ahmad dari Syarikat Pahlawan Enterprise menerima anugerah Usahawan Kraf Muda 2019 kategori lelaki. Beliau mengusahakan perniagaan membina rumah di Kuala Berang, Terengganu.

Rozana Musa dari Syarikat Bendang Studio, Melaka yang memiliki perusahaan seramik pula dianugerahkan Usahawan Kraf Muda 2019 kategori wanita.

Sambutan HKK 2019 berlangsung dari 28 Februari hingga 11 Mac ini di Kompleks Kraf Jalan Conlay, Kuala Lumpur menganggarkan kunjungan sekitar 45,000 orang serta turut mewujudkan segmen digital sebagai kelainan dan membantu memacu pendapatan penggiat kraf sepanjang HKK 2019 berlangsung. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus