Mohd Ridzal dilantik Ketua Pengarah YaPEIM

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) mengumumkan pelantikan Mohd Ridzal Mohd Sheriff sebagai Ketua Pengarah yayasan itu berkuat kuasa 13 Ogos.

YaPEIM menerusi kenyataan memaklumkan, Mohd Ridzal dilantik memegang jawatan itu secara lantikan kontrak selama dua tahun.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, dengan pelantikan Mohd Ridzal yang berpengalaman luas, YaPEIM akan dapat meneruskan dan meningkatkan potensinya.

"(Pelantikan) ini akan dapat memastikan YaPEIM kekal relevan dalam menyantuni masyarakat selaku sebuah institusi pembangunan sosio-ekonomi dan amal jariah yang sesuai dengan mandatnya untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi umat Islam di Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Redza Shah dalam kenyataan sama turut menzahirkan penghargaan kepada Parihah Hasan atas khidmat beliau memangku jawatan ketua pengarah yayasan itu sejak tahun 2019.

Mohd Ridzal, 56, berpengalaman luas menjangkau 30 tahun dalam bidang perbankan dan pasaran modal serta beberapa tahun di agensi kerajaan termasuk berkhidmat selaku Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Mohd Ridzal yang memulakan kerjaya di D&C Nomura Merchant Bank Berhad juga pernah menjadi ketua pegawai eksekutif beberapa syarikat termasuk Infitodax (L) Pte Ltd, Deutsche Trustees (M) Berhad dan Malaysian Derivatives Clearing House Berhad.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti of London, beliau juga pernah memegang pelbagai jawatan kanan di institusi seperti Deutsche Bank Malaysia Berhad, Bursa Malaysia dan Ultimate Futures Sdn Bhd. - Bernama

Artikel Berkaitan: