Remaja 15 tahun antara dicekup bersama pil kuda

Pil kuda dianggarkan bernilai RM1,100 yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Lati, Lemal, Kuala Krai pada Isnin.
Pil kuda dianggarkan bernilai RM1,100 yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Lati, Lemal, Kuala Krai pada Isnin.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun antara tiga lelaki yang dicekup polis bersama 111 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM1,100 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Lati, Lemal di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, serbuan pada jam 9.30 pagi itu melibatkan tangkapan tiga lelaki berusia 23 hingga 15 tahun itu berkait dengan laporan sebelum ini.

"Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) membuat serbuan di lokasi.

"Semasa tiba di lokasi, kita mendapati pintu hadapan rumah tersebut berada dalam keadaan terbuka. Anggota polis kemudian telah masuk ke dalam rumah untuk membuat pemeriksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, semasa pemeriksaan dilakukan polis mendapati tiga individu berada di dalam rumah berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan kemudian dilakukan ke atas sebuah bilik sambil disaksikan kesemua suspek yang membawa kepada penemuan satu kotak rokok.

Katanya, pemeriksaan lanjut telah menjumpai sebanyak 111 biji pil kuda dan kesemua barangan rampasan termasuk suspek dibawa balik ke IPD Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

"Saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah, namun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Artikel Berkaitan:

"Hasil soal siasat yang dilakukan salah seorang suspek mengaku dadah yang dijumpai adalah miliknya. Suspek berusia 23 itu turut mengaku mendapat bekalan daripada abangnya yang dikenali sebagai Iskandar," katanya.

Mohd Nasaruddin berkata, usaha mengesan Iskandar sedang giat dijalankan oleh pihaknya dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.