Penyu bertelur di Pantai Batu Buruk

Penyu agar dianggarkan berusia antara 15 hingga 18 tahun dikesan mendarat untuk bertelur di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, pada Isnin.
Penyu agar dianggarkan berusia antara 15 hingga 18 tahun dikesan mendarat untuk bertelur di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seekor penyu agar dikesan mendarat untuk bertelur berhampiran sebuah hotel di Pantai Batu Buruk di sini pada Isnin.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, penyu berkenaan mula bertelur antara jam 7 petang dan 8.50 malam dengan jumlah telur sebanyak 49 biji.

"Penyu tersebut dianggarkan berusia 15 hingga 18 tahun dan dikategorikan sebagai penyu muda berdasarkan saiz kesan ditinggalkan serta jumlah telur dihasilkan.

"Berat dan saiz penyu tidak dapat ditentukan memandangkan ibu penyu telah turun ke laut semasa pegawai tiba ke lokasi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ruzaidi mengingatkan orang ramai supaya tidak mengganggu haiwan berkenaan sepanjang berada di darat atau ketika turun ke laut.

"Berdasarkan maklumat diterima, penyu itu telah diganggu ketika perjalanan naik ke darat.

"Perbuatan ini boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 12B Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 1987) dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.

Beliau berkata, telur penyu berkenaan dibawa ke Pusat Konservasi Dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang, Dungun untuk proses pengeraman.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Uzair Rusli berkata, penyu agar naik ke pantai Pantai Batu Buruk merupakan petanda pantai berkenaan sudah sesuai dengan persarangan penyu.

Menurutnya, keadaan itu juga menunjukkan bahawa haiwan berkenaan bersedia untuk bertelur di sepanjang 225 kilometer jajaran pantai dari Kemaman ke Besut, selain pantai-pantai di pulau yang menjadi lokasi popular penyu.

"Penyu amat sensitif dan berhati-hati dalam memilih lokasi persarangan. Pembangunan dan lokasi Pantai Batu Buruk yang dekat dengan bandar sebelum ini menyebabkan ia tidak begitu popular bagi persarangan penyu.

"Mungkin aktiviti orang awam di pantai itu berkurangan pada masa ini menyebabkan tiada gangguan kepada penyu untuk mendarat," jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai diingatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan pantai bagi memastikan keselamatan dan menerima kunjungan haiwan tersebut.

"Sekarang bergantung kepada kita untuk memastikan pantai kita 'mesra penyu' atau sebaliknya.

"Beberapa perkara perlu diberikan perhatian jika mahu melihat penyu naik bertelur di pantai-pantai berdekatan rumah kita. Antaranya kurangkan pencahayaan ke bahagian pantai, kurangkan aktiviti riadah sebelah malam berhampiran pantai dan memperbanyakkan penanaman pokok yang sesuai di kawasan itu," kata beliau.