X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 21 Januari 2022

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar AS pada Selasa berikutan ketidaktentuan politik yang mempengaruhi sentimen pasaran. Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar AS pada Selasa berikutan ketidaktentuan politik yang mempengaruhi sentimen pasaran, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, unit tempatan berada pada 4.2370/2400 berbanding dolar AS daripada 4.2350/2390 sewaktu ditutup pada Isnin.

“Ringgit dilihat sangat mudah terjejas berikutan krisis politik di Malaysia yang meruncing dan harga minyak yang kekal rendah,” menurut Penganalisis Pasaran Kanan OANDA Asia Pacific, Jeffrey Halley.

Beliau berkata, kebimbangan terhadap virus Covid-19 secara umumnya turut mempengaruhi sentimen di Asia dengan pasaran berhati-hati terhadap perkembangan keadaan di China, khususnya penutupan sebahagian pelabuhan.

Sementara itu di peringkat luaran, peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata pelabur tukaran mata wang asing akan menumpukan kepada data jualan runcit Amerika Syarikat (AS) yang akan dikeluarkan lewat Selasa yang mungkin memberikan petunjuk mengenai penggunaan AS dan dijangka menentukan keadaan dolar AS untuk beberapa hari akan datang.

“Bacaan yang lebih tinggi daripada jangkaan boleh menyebabkan dolar AS melebihi 4.2370 dan mencapai paras 4.2890, manakala angka yang lebih rendah daripada jangkaan boleh menyebabkan ia berada di bawah paras 4.2150 dan seterusnya merosot sehingga 4.1750,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1237/1264 daripada 3.1227/1259 sewaktu ditutup pada Isnin dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.8786/8814 daripada 3.8732/8769.

Bagaimanapun ringgit lebih tinggi berbanding euro kepada 4.9886/9922 berbanding 4.9893/9940 Isnin dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.8623/8665 daripada 5.8680/8736 sebelum ini. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!