77.2 peratus penduduk Kuala Pilah lengkap dua dos

Sebanyak 77.2 peratus penduduk di daerah ini telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 setakat Sabtu. Gambar hiasan
Sebanyak 77.2 peratus penduduk di daerah ini telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 setakat Sabtu. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA PILAH - Sebanyak 77.2 peratus penduduk di daerah ini telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 setakat Sabtu.

Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, ia sekali gus menjadikan sasaran imuniti kelompok yang disasarkan pada Oktober ini dapat dicapai lebih awal.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) daerah Kuala Pilah yang sangat berusaha memastikan populasi dewasa 18 tahun ke atas di daerah ini menerima vaksin lengkap dua dos, sekali gus terselamat daripada risiko jangkitan Covid-19.

"Menerusi dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam iaitu PPV Dewan Dato' Bahaman dan PPV Kompleks Rakan Muda, Melang serta beberapa inisiatif lain seperti PPV pandu lalu dan pemberian vaksin secara bergerak rumah ke rumah khusus untuk warga emas serta orang kurang upaya (OKU) menjadikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) peringkat Kuala Pilah tercapai dengan lancar dan lebih awal daripada tarikh disasarkan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Facebook beliau pada Isnin.

Eddin Syazlee berkata, sejak awal pandemik Covid-19, Pusat Khidmat Parlimen Rakyat menyalurkan pelbagai bantuan berterusan seperi bakul makanan untuk mereka yang terjejas dan menjalani kuarantin di rumah.

Beliau berkata, sebanyak 3,457 bakul makanan telah diagihkan sejak 5 Julai lalu menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

"Sebahagian besar diagihkan melalui 68 buah masjid di Kuala Pilah. Di Kawasan Simpang Juasseh yang satu-satunya diisytiharkan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) telah diagihkan bekalan barang basah dan pek makanan kering kepada 368 keluarga terjejas.

"Kita juga banyak bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kuala Pilah untuk memastikan kebajikan orang asli tidak ketinggalan," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pihaknya juga telah menghantar sebanyak 70 pek makanan basah kepada penduduk Kampung Guntur dan Chergun di sini di mana Pejabat Kesihatan Daerah melaksanakan pengawasan ujian satringan.