PM baharu dicadang tubuh kerajaan rentas parti

Mohd Azmi
Mohd Azmi
A
A
A

ALOR SETAR - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mencadangkan agar kerajaan baharu yang ditubuhkan nanti adalah merentas parti.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kabinet yang dilantik juga perlulah berdasarkan kepada merit kepakaran dan kematangan dalam mengurus pentadbiran negara.

Beliau berkata, individu yang dilantik sebagai Perdana Menteri baharu perlu benar-benar berusaha membawa reformasi kepada polisi dan sistem penyampaian secara berkesan untuk membawa negara keluar dari kemelut Covid-19 yang sangat kritikal.

Menurutnya, jemaah menteri kabinet juga perlu dikecilkan tanpa kompromi selari dengan keberkesanan serta efisiensi perkhidmatan negara.

"Kami menuntut prinsip 'rule of law' dan pelbagai reformasi Parlimen dilaksanakan dengan sempurna.

"Perjalanan institusi awam negara perlu disemak keberkesanannya untuk memastikan tidak berlaku keciciran dan pembaziran," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Azmi berkata, beliau juga mahu Perdana Menteri baharu memastikan penglibatan berkesan masyarakat untuk melengkapkan proses reformasi yang tertangguh.

"Sudah sampai masanya peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diperkasakan untuk merealisasikan hasrat rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Kami berharap kerajaan baharu akan memberi tumpuan menangani Covid-19 agar kes dapat dikurangkan dan semua sektor ekonomi dibuka secara beransur-ansur," ujar beliau.

Tambah beliau, rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang efektif untuk mencari jalan keluar dari pandemik serta kelumpuhan ekonomi negara.

"Mapim yakin kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam membuat keputusan melantik Perdana Menteri baharu berdasarkan peruntukan perlembagaan selain pengalaman, wibawa serta keupayaan Seri Paduka Baginda mentadbir negara," katanya.

Beliau berkata, Mapim turut merakamkan penghargaan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sepanjang perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat dan negara.

"Peletakan jawatan itu wajar, selari dengan perlembagaan negara. Semua pihak harus bertenang menerima proses demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan," kata beliau.