Politik Malaysia tidak lagi boleh terumbang-ambing: Muhyiddin

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

PUTRAJAYA -Malaysia tidak boleh terus dibelenggu politik yang terumbang-ambing, tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang dilantik sebagai Perdana Menteri sementara atau caretaker oleh Yang di-Pertuan Agong berkata, ketiadaan majoriti dalam parti politik menyumbang kepada keadaan sebegitu.

Jelasnya, sekiranya selepas ini beliau menawarkan diri untuk menjadi Perdana Menteri, dengan bilangan sokongan hampir sama, perebutan kerusi akan berterusan berlaku.

“Kalau saya tawarkan diri saya pun, bilangannya masih sama, takkan nak lihat negara akan terus terumbang-ambing.

Lepas itu, ada sekali lagi, satu kali lagi.

“Kalau pilih lain mungkin ada dua atau tiga majoriti tapi saya dulu ada empat ke lima majoriti tapi kalau dengan keadaan seperti ini (majoriti tipis) lagi, ia akan ulang sekali lagi.

“Negara tak boleh lagi tertahan dengan situasi politik yang terumbang-ambing,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Perutusan Khas di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, sebelum ini tiada pihak mempunyai majoriti lebih besar daripadanya meskipun ada yang mendakwa sudah mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen.

Artikel Berkaitan:

“Pernah satu ketika ahli Parlimen pergi dan kata dan ‘convincing and formidable’ tapi tak dengar pula sekarang ‘convincing and formidable’ itu.

“Kerana saya tahu, kita orang politik, kita ada maklumat.

Tiada satu pun pihak yang mempunyai majoriti lebih besar daripada saya.

“Tetapi apa pun, sekarang proses dan prosedur pelantikan itu dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong. Dalam Perlembagaan, Agong hendaklah mencari Perdana Menteri baru mengikut cara difikirkan sesuai,” ujarnya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan Istana Negara, susulan peletakan jawatan itu, Baginda berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri caretaker sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah, pelaksanaan pilihan raya umum ke-15 bukan jalan terbaik kerana faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat negara ini. - Awani