Gelora politik masih belum berakhir

Tumpuan rakyat ketika ini ialah siapakah yang bakal diangkat menjadi Perdana Menteri ke-9 sekali gus mengambil alih kerajaan menggantikan PN. - Foto Bernama
Tumpuan rakyat ketika ini ialah siapakah yang bakal diangkat menjadi Perdana Menteri ke-9 sekali gus mengambil alih kerajaan menggantikan PN. - Foto Bernama
A
A
A

GELORA politik negara masih belum berakhir walaupun Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa serta-merta pada Isnin.

Keputusan itu diterima dengan perasaan berbelah bahagi oleh rakyat kerana berasakan ia tidak sepetutnya berlaku, malah hanya penyelesaian sementara bagi meredakan kemelut politik.

Selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020, negara sekali lagi berada dalam keadaan tergantung.

Susulan peletakan jawatan itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga seorang perdana menteri baharu dilantik.

Pelantikan sementara ini hanya untuk penjawat sedia ada memangku tugas sehingga pelantikan baharu saja namun masih tidak jelas bagaimana proses pelantikan dijalankan sama ada melalui Dewan Rakyat atau mempersembahkan akuan bersumpah (SD).

Muhyiddin terpaksa mengalah. Beliau meletakkan jawatan selepas tekanan demi tekanan dan akhirnya hilang majoriti sokongan ahli Parlimen, manakala cadangan kerjasama bipartisan tidak mendapat sokongan parti politik.

Kedudukan Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak awal lagi dikatakan rapuh kerana mempunyai majoriti tipis di Dewan Rakyat.

Usaha menjatuhkan kerajaan sudah bermula sejak Oktober tahun lalu tetapi menjadi lebih serius apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan terlajak mengumumkan kerajaan telah menamatkan semua Ordinan Darurat mulai 21 Julai 2021 dalam sidang khas Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Lalu muncul tuduhan Muhyiddin dan kerajaan PN telah menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan perlu mengundurkan diri dalam memikul tanggungjawab secara bersama.

Selepas penarikan UMNO daripada kerajaan PN dan peletakan jawatan dua menteri kabinet, undi percaya kepada Muhyiddin sepatutnya akan menyusul pada September depan untuk menentukan keabsahannya sebagai perdana menteri.

Tindakan Muhyiddin meletakkan jawatan berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut “Jika perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka perdana menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri”.

Tumpuan rakyat ketika ini ialah siapakah yang bakal menggantikan Muhyiddin.

Sebelum ini timbul ura-ura Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menggantikan Muhyiddin kerana dikatakan memiliki sokongan daripada 100 ahli Parlimen blok kerajaan.

Pada masa sama, PH turut yakin mempunyai angka sokongan yang mencukupi untuk mengambil alih kerajaan menggantikan PN sekali gus merealisasikan impian Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri selepas sekian lama mengintai kerusi itu.

Akhbar ini pada Isnin melaporkan di muka hadapan, Siapa Pengganti Muhyiddin dengan memaparkan Ismail Sabri dan Anwar serta dua nama lain yang menjadi sebutan iaitu Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Rakyat sebenarnya keliru. Konflik politik yang berlaku ketika ini amat mengecewakan. Krisis politik tidak berkesudahan tidak akan mendatangkan sebarang keuntungan kepada rakyat.

Kebanyakan rakyat berharap, siapa juga yang dilantik akan menyelesaikan isu peningkatan jangkitan Covid-19 yang membimbangkan di negara ini. Tetapi inilah putaran ganas politik yang sukar difahami oleh rakyat biasa.

Penyelesaian terbaik untuk kemelut politik pada hari ini ialah melalui pembubaran Parlimen bagi memberikan laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan namun Covid-19 menjadi penghalang.

Selagi PRU15 tidak diadakan, selagi itulah krisis politik di negara ini tidak akan berakhir. Ketika ini tiada seorang pun ahli Parlimen dapat membuktikan mempunyai majoriti cukup untuk membolehkan Yang di-Pertuan Agong melantik perdana menteri baharu.

Sekiranya keadaan seperti sekarang berterusan, sama ada PN atau PH yang mengemudi kerajaan, Malaysia tidak akan pulih daripada krisis dan rakyat akan terus menderita.

Rakyat masih meletak harapan tinggi supaya pemimpin politik dapat mengenepikan agenda peribadi bagi menghadapi situasi getir sekarang.

* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif Sinar Harian