Masa terbaik tambah peruntukan

Aksi pelumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang ketika beraksi di Veledrom Izu pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini. (Gambar kecil) Nazmizan
Aksi pelumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang ketika beraksi di Veledrom Izu pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini. (Gambar kecil) Nazmizan
A
A
A

PERUNTUKAN tambahan perlu diberikan kepada acara sukan berprospek tinggi dalam menyumbang pingat menjelang berbakinya dua tahun 11 bulan temasya Sukan Olimpik Paris 2024 selepas berakhirnya edisi Tokyo 2020 baru-baru ini.

Malah menurut bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad, peruntukan itu merupakan sesuatu yang wajar dalam usaha memperkemaskan kesiapsediaan atlet muda dalam menjalani latihan sebelum mengalas cabaran di temasya sukan terbesar dunia tersebut.

"Pencapaian di Tokyo 2020 perlu dilihat dari sudut positif untuk persediaan ke Paris 2024 walaupun kontinjen negara gagal menepati sasaran ditetapkan sebelum ini.

"Secara jujur, atlet negara sudah memberikan yang terbaik semasa di Tokyo 2020 apatah lagi layak secara merit di sana. Di situ kita sudah boleh melihat kekuatan sebenar dalam acara-acara disertai atlet negara.

"Acara berbasikal, terjun, badminton sudah memberikan penanda aras positif untuk Malaysia lebih menyerlah, selain memanah, pelayaran dan menembak.

"Cumanya kini, peruntukan tambahan perlu diberikan kepada acara-acara sukan tersebut boleh pergi lebih jauh menjelang Paris 2024, selain sukan-sukan lain kerana pada 2022 terdapat tiga temasya sukan terbesar iaitu Sukan Sea, Sukan Asia, Sukan Komanwel," katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Kontinjen negara di Tokyo 2020 sebelum ini meraih satu pingat perak dan satu gangsa sekali gus gagal menyaingi kecemerlangan pada edisi Rio 2016 enam tahun lalu.

Jelas Nazmizan, peruntukan tambahan tersebut boleh disalurkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan persatuan sukan kebangsaan yang telah layak ke Tokyo 2020 sebelum ini, selain acara sukan berprospek meraih pingat di Olimpik.

Artikel Berkaitan:

Malah jelas Nazmizan, tidak perlu ditubuhkan badan berkanun lain di bawah Kementerian Pendidikan, sebaliknya tambah sahaja peruntukan bagi membolehkan entiti-entiti sukan ini supaya memperkemaskan program masing-masing.

"Saya rasa tidak perlu tubuhkan MSN 2 sebaliknya mantapkan kerjasama antara MSN dan KPM, kerana sebelum ini program Tunas Cemerlang berjalan dengan baik dan mantap, namun disebabkan terdapat usaha wujudkan program sendiri akhirnya tidak berjaya, jadi perancangan selepas ini kena lebih rapi.

"Kita sudah mempunyai program yang tersusun meliputi pembangunan, bakat dan elite, jadi peruntukan tambahan ini pada saya penting sebagai sokongan kepada pelbagai program dijalankan Kementerian Pendidikan dan persatuan sukan kebangsaan.

"Macam Kementerian Pendidikan pun mereka ada dasar yang kalau kita tengok sudah pun melahirkan atlet-atlet pelapis terbaik dalam negara menerusi Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

"Macam dulu kita ada program Jaya 98, Gemilang 2001, Gemilang 2006, Gemilang 2010 kemudiannya Program Podium, jadinya kita kena tengok semula bagaimana kejayaan-kejayaan yang dilakar sebelum ini. Apapun pelaburan yang selepas ni kena lebih menjurus kepada kualiti," katanya.

Pada masa sama Nazmizan menyarankan supaya status dasar Sekolah Sukan Negeri dinaik taraf supaya selaras dengan Sekolah Sukan Malaysia.

"Upgrade status Sekolah Sukan Negeri agar selaras dengan dasar Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia supaya kemenjadian atlet murid akan dapat diperluaskan lagi dengan adanya kemudahan sama rata antara sekolah sukan," katanya.

"Dalam perihal pembangunan atlet peringkat akar umbi ini, pandangan dalam kalangan guru-guru sukan juga boleh diberikan perhatian.

"Buat masa sekarang ini, kita perlukan beberapa pertandingan tertutup buat atlet sekolah, atlet pelapis dan atlet junior kerana kebanyakan mereka terutamanya atlet pelapis mulai loosing grip.

"Ketiadaan pertandingan kompetitif selain 'proper training' dalam negara selama dua tahun ini memang beri kesan pada tahun-tahun yang mendatang kerana kita tidak memiliki 'strong base and core for future'," katanya.