Covid-19: Satu lagi kluster baharu direkod di Sabah

Sabah merekodkan 1,728 kes positif Covid-19 pada Isnin menjadikan jumlah kumulatif 106,830 kes dengan satu kluster baharu iaitu Kluster Cenderawasih dikesan di Lahad Datu. Foto hiasan.
Sabah merekodkan 1,728 kes positif Covid-19 pada Isnin menjadikan jumlah kumulatif 106,830 kes dengan satu kluster baharu iaitu Kluster Cenderawasih dikesan di Lahad Datu. Foto hiasan.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sabah merekodkan sebanyak 1,728 kes positif Covid-19 pada Isnin menjadikan jumlah kumulatif 106,830 kes dengan satu kluster baharu iaitu Kluster Cenderawasih dikesan di Lahad Datu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kluster itu membabitkan penularan jangkitan di tempat kerja dengan kes indeks merupakan anggota keselamatan lelaki berumur 39 tahun dan disahkan positif di Klinik Kesihatan Tungku pada 11 Ogos lepas setelah bergejala sejak 7 Ogos.

Jurucakap negeri berkaitan Covid-19 itu berkata, pengesanan secara aktif serta saringan yang dilakukan terhadap kontak rapat mengesan tujuh lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif lapan kes termasuk satu kes baharu pada Isnin.

“Sementara itu, 27 orang daripada 35 kontak yang disaring masih menunggu keputusan ujian saringan. Punca jangkitan masih dalam siasatan namun siasatan awal mendapati kontak-kontak rapat pernah melakukan aktiviti sukan bersama kes indeks.

“Semua kes positif Covid-19 dalam kluster ini dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut selain pengasingan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Lahad Datu manakala kontak rapat diarahkan menjalani kuarantin di pusat kuarantin PPR Sri Sapagaya, Lahad Datu,” menurutnya dalam kenyataan Isnin malam.

Secara keseluruhannya, Masidi berkata, jumlah kes harian direkodkan pada Isnin meningkat sebanyak 63 kes berbanding 1,665 yang dicatatkan pada 15 Ogos dengan 15 kes kematian dilaporkan masing-masing lima kes di Kota Kinabalu dan Tawau manakala satu kes di Sandakan, Penampang, Keningau, Tuaran dan Sipitang.

Beliau berkata, saringan kontak rapat terus menjadi penyumbang utama kepada kes baharu di Sabah iaitu 55.26 peratus atau 955 kes diikuti saringan bergejala (461 kes), saringan kluster (141), saringan bersasar (12) dan lain-lain (159).

Katanya 44.2 peratus atau 763 daripada kes baharu pada Isnin adalah daripada kategori dua diikuti kategori satu (366 kes), kategori tiga (10), kategori empat dan lima masing-masing satu kes manakala 587 lagi masih dalam siasatan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas perkembangan program vaksinasi di Sabah, Masidi berkata, sebanyak 46.2 peratus penduduk dewasa di negeri itu telah pun memperoleh satu dos vaksin dan 22.7 peratus melengkapkan pengambilan dua dos vaksin setakat ini.

Beliau berkata, seramai 1.4 juta orang atau 51.3 peratus rakyat Sabah telah membuat pendaftaran untuk mendapatkan suntikan vaksin menerusi pelbagai platform yang disediakan. - Bernama