Lantik PM baharu segera, elak jejas pembentangan Belanjawan 2022

Bangunan Perdana Putra menempatkan pejabat Perdana Menteri sementara atau 'caretaker' Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
 - Foto Bernama
Bangunan Perdana Putra menempatkan pejabat Perdana Menteri sementara atau 'caretaker' Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
 - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelantikan Perdana Menteri baharu perlu dilakukan segera susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan, bagi memastikan agenda pembentangan Belanjawan 2022 tidak terbantut dan dapat dilaksanakan seperti yang dijadual.

Pensyarah Undang-undang dan Perlembagaan Malaysia di Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, pembentangan belanjawan itu penting untuk menentukan perbelanjaan dan aliran kewangan negara untuk tahun depan.

"Perdana Menteri perlu ada sebelum pembentangan belanjawan kerana belanjawan itu perlu datang dari sebuah kerajaan yang sah.

“Perlu diingat, apabila belanjawan dibentangkan di Dewan Rakyat, ia mesti mendapat sokongan majoriti sebelum diluluskan," katanya kepada Bernama.

Menurut takwim Dewan Rakyat di laman web rasmi Parlimen, pembentangan Belanjawan 2022 (Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2022) dijangka pada 29 Oktober ini.

Khairil Azmin turut menjangkakan Perdana Menteri baharu dilantik dalam masa terdekat kerana negara memerlukan pemimpin dan jemaah menteri yang sah untuk membuat draf belanjawan, selain kabinet dan dasar yang kukuh diperlukan dalam menyediakan belanjawan itu.

Bagi tujuan itu, pakar perlembagaan berkenaan berkata, seorang Perdana Menteri baharu boleh dilantik sekiranya Yang di-Pertuan Agong yakin individu itu mempunyai sokongan majoriti.

"Sekarang terpulang kepada para pemimpin politik untuk meyakinkan Yang di-Pertuan Agong bahawa dia ada majoriti. SD atau akuan bersumpah boleh diambil kira bagi pertimbangan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan siapa dapat sokongan majoriti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, terserah kepada budi bicara Seri Paduka untuk memanggil menghadap pemimpin politik, menjalankan temu duga atau apa cara sekali pun yang pada hemat Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan berhubung ahli Dewan Rakyat yang mempunyai sokongan majoriti, seterusnya dapat dilantik sebagai Perdana Menteri.

Muhyiddin pada Isnin meletak jawatan selepas 17 bulan memegang jawatan itu. Turut meletak jawatan adalah 29 menteri kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah seterusnya berkenan untuk Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara atau 'caretaker' sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan berkata, perkara itu diputuskan setelah Seri Paduka berkenan menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan peletakan jawatan seluruh jemaah menteri yang berkuat kuasa hari pada Isnin.

Sementara itu bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak segera bagi melantik Perdana Menteri baharu mengikut pertimbangan baginda mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat.

Beliau berkata, orang yang dilantik perlu segera ke Parlimen dan mengesahkan majoritinya. - Bernama