Annuar jadi sukarelawan PriVo, terus khidmat bantu rakyat

Kemas kini status Twitter Annuar pada Isnin.
Kemas kini status Twitter Annuar pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mendaftar sebagai Sukarelawan Wilayah Prihatin atau Prihatin Volunteer (PriVo) sebagai medium meneruskan khidmat membantu rakyat.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, beliau dijangka akan memulakan tugas sebagai sukarelawan itu pada Selasa.

"Benar, tiada lagi pengiring, tiada lagi pengawal peribadi, tiada lagi gaji, semuanya sudah tiada. Namun bagi saya, itu semua hanya pinjaman," katanya menerusi ciapan di Twitter beliau pada Isnin.

Katanya, beliau akan meneruskan tugas berkhidmat kepada rakyat selepas peletakan jawatan sebagai menteri kabinet.

"Apa seterusnya? Berkhidmat kepada rakyat. Saya telah daftarkan diri sebagai PriVo.

"Saya mahu teruskan membantu orang susah, gelandangan dan mereka yang memerlukan. Saya akan mula esok, Insya-ALLAH, " katanya.

Pada Isnin, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri pada satu sidang akhbar di pejabatnya di Putrajaya yang turut disiarkan secara langsung di pelbagai platform telekomunikasi, termasuk televisyen dan media sosial.

Keputusan itu dibuat selepas Muhyiddin hilang majoriti sokongan ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.

Artikel Berkaitan:

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan peletakan jawatan berkenaan.

Menurut kenyataan Istana Negara, susulan peletakan jawatan itu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah turut berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri “caretaker” sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.