Bentuk kerajaan baharu sebelum pembentangan Belanjawan 2022

Ideas menggesa pembentukan kerajaan baharu dilakukan sebelum pembentangan Belanjawan 2022 di Parlimen yang dijangka pada penghujung Oktober 2021. - Foto Bernama
Ideas menggesa pembentukan kerajaan baharu dilakukan sebelum pembentangan Belanjawan 2022 di Parlimen yang dijangka pada penghujung Oktober 2021. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) menggesa agar pembentukan kerajaan baharu dilakukan sebelum pembentangan Belanjawan 2022 di Parlimen yang dijangka pada penghujung Oktober 2021.

Ideas dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, kerajaan yang akan dibentuk perlu mengutamakan pelaksanaan pembaharuan institusi yang dijanjikan kepada rakyat.

Antaranya adalah pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP), pembentangan Rang Undang-undang Pendanaan Politik di Parlimen dan pemisahan peranan Peguam Negara (AG) serta pendakwa raya.

“Pembaharuan tersebut juga termasuk meningkatkan kebebasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan cara menaikkan statusnya kepada badan berperlembagaan dan proses pelantikan penjawat awam utama serta pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dilakukan dengan telus dan bebas.

“Selain itu, kerajaan baharu perlu memberi kuasa kepada Parlimen dengan memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen dan memperluaskan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) demi memastikan perwakilan seimbang daripada kerajaan dan pembangkang.

“Perlu juga diadakan satu badan kehakiman bebas yang diberi kuasa untuk menghakimi semua kes rasuah politik,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, jelas kenyataan itu, proses membentuk kerajaan perlu menentang semua bentuk pembelian ahli Parlimen ke arah lompat parti, rasuah dan penyalahgunaan dana awam.

Tambahnya, iklim politik kini menunjukkan perpecahan dan tidak ada parti yang mampu membentuk kerajaan tanpa persetujuan parti lain.

Artikel Berkaitan:

“Namun proses rundingan ini harus disokong tawaran dasar dan visi untuk membawa Malaysia bergerak ke hadapan.

“Rakyat berhak mengetahui dan memahami proses pembentukan kerajaan, bermaksud proses ini perlu dilakukan dengan telus dan bertanggungjawab.

“Kaedah terbaik untuk menyelesaikan krisis politik ini adalah mengembalikan kuasa membuat pilihan kepada rakyat Malaysia,” ujarnya.