JPJ guna sistem JPJeQ bermula Isnin

Zailani ketika mengadakan sidang media melalui Zoom pada Isnin.
Zailani ketika mengadakan sidang media melalui Zoom pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggunakan sistem janji temu dan nombor giliran bersepadu (JPJeQ) sepenuhnya untuk urusan pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan cukai jalan (LKM) di semua kaunter seluruh negara bermula pada Isnin.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, penggunaan sistem tersebut akan memudahkan dan melancarkan urusan pelanggan bagi mendapatkan slot janji temu di kaunter jabatan tersebut.

“Kita sudah menambah kapasiti jalur lebar dan ‘server’ yang digunakan. Jadi, kalau minggu lepas orang kata susah untuk akses kepada perkhidmatan janji temu dalam talian, minggu ini tiada masalah,” katanya dalam sidang media Ketua Pengarah JPJ bersama rakan strategik (Pos Malaysia, MyEG dan Puspakom) di aplikasi Zoom, pada Isnin.

Zailani berkata, tempoh lanjutan pembaharuan LMM dan Cukai Jalan (LKM) akan tamat seperti dijadualkan iaitu pada 30 September ini.

Menurutnnya, bagi memudahkan pengguna, JPJ membenarkan urusan pembaharuan LMM dan LKM di semua kaunter JPJ di seluruh negara selain daripada melalui rakan strategiknya iaitu Pos Malaysia dan MyEG yang menyediakan perkhidmatan secara dalam talian.

Beliau berkata, kerajaan juga memberikan pengecualian khas untuk membolehkan kaunter pengoperasian kaunter JPJ di kawasan yang berada di Fasa Satu dan Dua Pelan Pemulihan Negara dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ketat.

“JPJ turut menyediakan perkhidmatan dalam talian melalui Portal mySIKAP, di mana orang ramai boleh membuat urusniaga khususnya bagi tujuan pembaharuan LMM dan LKM.

“Dengan cara ini, pengguna yang melakukan pembayaran melalui dalam talian boleh terus hadir untuk mengambil salinan lesen memandu dan cukai jalan (dokumen terkawal) di mana-mana kaunter JPJ dengan mengemukakan resit pembayaran,” kata beliau lagi.

Artikel Berkaitan:

Zailani memaklumkan, petugas barisan hadapan Covid-19 yang tidak mempunyai masa untuk memperbaharui LMM dan LKM boleh menggunakan kaunter bergerak JPJ yang diatur untuk memenuhi keperluan masyarakat awam.

“Kami boleh bawa kaunter bergerak yang kini ada 17 unit untuk ditempatkan di mana-mana hospital dan pusat pemberian vaksin yang memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu, JPJ memaklumkan sebanyak 1.34 juta transaksi terkumpul direkodkan membabitkan pembaharuan LMM dan LKM di seluruh negara sejak 1 Ogos lalu sehingga semalam (Ahad).