UMNO, Pas dan Bersatu adakan mesyuarat khas

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa parti politik mengadakan mesyuarat khas susulan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perkenan menerima peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan kabinetnya.

Antaranya, biro politik UMNO mengadakan mesyuarat petang ini (Isnin), di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang membincangkan hala tuju parti tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan berkata, majlis pimpinan tertinggi parti itu turut mengadakan mesyuarat secara dalam talian bagi membincangkan langkah seterusnya.

Sementara itu, Pas juga mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan hala tuju mereka selepas ini.

Pada Isnin, Seri Paduka Baginda berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga perdana menteri baharu dilantik.

Dalam kenyataan Istana Negara yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan, Al-Sultan Abdullah membuat keputusan berkenaan selepas menerima peletakan jawatan Muhyiddin selaku Perdana Menteri dan seluruh jemaah menteri dengan serta merta berkuat kuasa pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN:Agong titah PRU15 bukan pilihan terbaik

Artikel Berkaitan: