Guan Eng tidak maklum bincang projek terowong dengan Zarul: Saksi

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin diberitahu bahawa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak memaklumkan pertemuannya dengan seorang lelaki dikenali ‘Datuk Zarul’ pada Januari 2011 lalu kepada ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang mengenai pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang.

Bekas Exco Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Pulau Pinang, Datuk Lim Hock Seng berkata demikian ketika prosiding perbicaraan kes rasuah Guan Eng berhubung projek mega berkenaan di negeri itu.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin sama ada Guan Eng mendedahkan pertemuan itu berlalu di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, Hock Seng, 73, yang juga saksi pendakwaan ketiga pendakwaan berkata tidak.

Menurutnya, Guan Eng tidak menyatakan secara rasmi kepada ahli MMK berlaku pertemuan dan perbincangan mengenai projek tersebut di luar.

“Dalam catatan minit mesyuarat MMK, Guan Eng hanya cakap, sebuah syarikat swasta nak teroka pembinaan projek terowong di Pulau Pinang tetapi beliau tidak menjelaskan nama syarikat dengan lebih terperinci.

“Guan Eng juga tidak cakap ada berbincang dengan Zarul pada Mac 2011, tetapi ia jelas projek ini dibangkitkan dalam MMK,” katanya.

Wan Shaharuddin: Dalam prosiding lalu, Datuk beritahu mahkamah bahawa Guan Eng beri nombor telefon Zarul dan Lee Chee Hoe. Bila Datuk hubungi mereka?

Hock Seng: Selepas mesyuarat MMK, saya dapat nombor telefon Zarul dan terus hubungi beliau.

Artikel Berkaitan:

Wan Shaharuddin: Datuk diberitahu bahawa ada sebuah syarikat nak teroka pembinaan terowong, tapi kenapa perlu hubungi Zarul dan Chee Hoe?

Hock Seng: Sebab dalam MMK, Guan Eng ada arahkan saya uruskan perkara ini

Wan Shaharuddin: Adakah Datuk tahu, mereka mempunyai pengetahuan mengenai projek terowong dan jalan raya di Pulau Pinang itu?

Hock Seng: Sebenarnya saya tak tahu bagaimana mereka mengetahui projek tersebut, apa yang saya agak, mungkin daripada kajian trafik di negeri itu yang sangat mendesak

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan balas oleh peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng, Hock Seng berkata, menerima nombor telefon bagi pihak yang dicadangkan adalah perkara biasa.

Gobind: Masalah trafik di Pulau Pinang adalah masalah besar bukan sahaja sekarang malah 20 tahun lalu, maka selaku Ecxo kerajaan negeri, Datuk banyak menerima aduan dan cadangan bagi mengatasi masalah itu?

Hock Seng: Ya.

Gobind: Setuju tak, kebiasaannya apabila cadangan diberi, butir-butir pencadang dan cara hubungi mereka diberi kepada Datuk?

Hock Seng: Ya.

Gobind: Jadi tidak salah tindakan Ketua Menteri (Guan Eng) buat permintaan dan beri nombor telefon itu?

Hock Seng: Tidak salah, sebab bukan saya seorang terima cadangan, Exco lain juga terima arahan sama bagi portfolio masing-masing, jadi ia perkara biasa dalam tugas.

Guan Eng, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Ahli Parlimen Bagan itu juga dituduh atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Guan Eng bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan berkenaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi disambung Rabu.