Cadang sistem biometrik untuk pekerja asing di Melaka

Ismail (kanan) menyampaikan kotak makanan kepada seorang penerima secara pandu lalu pada Program Kongsi Rezeki Anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Sukan JKKP Melaka pada Isnin. - Foto Bernama
Ismail (kanan) menyampaikan kotak makanan kepada seorang penerima secara pandu lalu pada Program Kongsi Rezeki Anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Sukan JKKP Melaka pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Sistem biometrik untuk pekerja warga asing di Melaka akan dicadangkan pelaksanaannya bagi mengesan pergerakan golongan itu khususnya mereka yang telah diberhentikan.

Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ismail Othman berkata, cadangan itu akan dibawa ke peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka dalam masa terdekat untuk dipertimbangkan.

Beliau berkata, berdasarkan rekod Jabatan Tenaga Kerja Melaka, kira-kira 4,000 pekerja warga asing dalam pelbagai sektor di Melaka telah diberhentikan kerja, kerana majikan terkesan ekoran penularan Covid-19 dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

“Jumlah ini amat membimbangkan kerana kita tidak tahu ke mana mereka pergi selepas diberhentikan kerja. Kita percaya mereka masih berada di negara ini, namun keberadaan mereka tidak dapat dikesan.

“Ada bekas majikan pekerja terbabit memaklumkan pekerja berkenaan telah menjumpai majikan baharu dan bekerja di sektor berlainan, namun tiada data sahih yang diperoleh,” katanya kepada pemberita selepas Program Kongsi Rezeki Anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Sukan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) Melaka di sini pada Isnin.

Pada majlis yang turut dihadiri Pengarah JKKP Melaka, Rabayah Daud itu, sebanyak 60 kotak makanan diagihkan kepada individu yang terkesan ekoran penularan Covid-19, antaranya mereka yang hilang pekerjaan, warga emas dan ibu tunggal.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, peningkatan warga asing yang diberhentikan kerja akan menyebabkan isu pengangguran dalam kalangan warga asing bertambah, sekali gus dikhuatiri mengundang pelbagai isu lain antaranya masalah sosial dan jenayah.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 335 tapak binaan aktif di sekitar negeri ini telah diperiksa bagi memastikan operasi pembinaan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang ditetapkan, dalam tempoh Januari hingga 13 Ogos lepas.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebanyak 24 kompaun bernilai RM24,000 turut dikeluarkan kerana gagal beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan dalam tempoh sama tahun ini.

“Sebanyak 78 notis perbaikan, 43 notis larangan dan 115 surat arahan juga telah dikeluarkan dalam tempoh sama,” katanya. - Bernama