Tukar pentadbiran negara tergesa-gesa beri implikasi buruk

Dr Daroyah Alwi
Dr Daroyah Alwi
A
A
A

SHAH ALAM - Masalah kesihatan dan kesejahteraan rakyat serta pemulihan ekonomi negara perlu diselesaikan terlebih dahulu berbanding menangani ketidakstabilan politik.

Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN) Selangor, Dr Daroyah Alwi berkata, beliau membidas tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan di sebalik kemelut politik ketika negara sedang bergelut melawan penularan Covid-19.

Beliau berkata, sebarang keputusan menukar pentadbiran negara secara tergesa-gesa bakal memberi implikasi buruk.

"Nafas yang baharu mula dihela oleh barisan hadapan negara apabila usaha mereka selama ini semakin memperlihatkan hasilnya, kini sesak kembali dek kerana politikus yang gilakan kuasa.

"Senyuman yang mula terukir setelah Pelan Pemulihan Negara (PPN) diperkenalkan rupanya tidak lama, rakyat dipaksa untuk menunggu pula pelan baharu yang akan diperkenalkan oleh pentadbiran akan datang," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Daroyah berkata, kepimpinan Muhyiddin perlu dikekalkan demi memulihkan negara mengikut perancangan asal PPN.

"Tempoh panjang diperlukan bagi penentuan sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen untuk menamakan siapa perdana menteri dan pembentukan jemaah kabinet yang baharu.

"Berapa ramai lagi rakyat yang perlu dikorbankan angkara penularan Covid-19 sepanjang tempoh itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, Muhyiddin Yasin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan pada satu sidang media di pejabatnya di Putrajaya yang turut disiarkan secara langsung di pelbagai platform telekomunikasi, termasuk televisyen dan media sosial.

Keputusan itu dibuat selepas Muhyiddin hilang majoriti sokongan ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.